MUKADIMAH : MANDAT JELAS. NEGERI MAKMUR. MASA DEPAN NEGERI SEMBILAN.
1. Alhamdulillah, memanjatkan marilah kita setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, pada hari ini kita dapat berhimpun sebagai satu keluarga besar
Barisan Nasional.

2. Hari ini, dari Seremban ke Port Dickson, dari Nilai ke Rembau, dari Kuala Pilah ke Tampin, dari Jempol ke Jelebu kita hadir dengan matlamat yang sama.. kita hadir bagi memastikan Negeri Sembilan kembali dipimpin oleh Barisan Nasional. Kita mesti pastikan Negeri Sembilan kembali dipimpin oleh sebuah Kerajaan yang lebih berwibawa, berpengalaman, lebih diyakini rakyat dan mampu membawa negeri ini melangkah lebih jauh!

3. Inilah amanah yang sedang menanti kita dan inilah perjuangan yang mesti kita pikul bersama.

(Tone Semangat)
Ini bukan masanya untuk bersenang-senang… Ini bukan masanya untuk kita berpecah-belah…
Hari ini, maruah kita menjadi taruhan,
Hari ini, masa depan BN sedang dipertaruhkan.
Kemenangan tidak datang bergolek…
Kemenangan hanya akan menjadi milik mereka yang berani berjuang.. dan bertahan hingga ke garisan yang terakhir!

Saudara dan saudari sekalian,

4. Hari ini ialah permulaan kepada satu perjuangan besar yang akan menentukan arah tuju Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang. Rakyat Negeri ini mendamba sebuah Kerajaan yang mampu membela nasib mereka. Rakyat Negeri ini mahukan sebuah Kerajaan yang mampu merancakkan ekonomi, menarik lebih banyak pelaburan, mewujudkan lebih banyak peluang kepada anak muda dan paling penting memastikan setiap keluarga di Negeri Sembilan menikmati masa depan yang lebih sempurna.

Johor Membawa Keyakinan, Negeri Sembilan Menuntut Perjuangan

5. Lima hari yang lalu, seluruh negara menyaksikan satu keputusan yang cukup bermakna apabila Bangsa Johor memberikan Barisan Nasional satu mandat yang amat cukup besar. Kita memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri, memperoleh hampir 60 peratus undi popular dan mencatatkan kemenangan terbesar dalam sejarah Barisan Nasional di Johor.