MUKADIMAH

  1. Bangsa Johor… Bangsa tersohor!
    Bangsa Johor… Jangan pernah undur!
    Bangsa Johor… Sudahkah kita bersedia?
    Gendang perang sudah dipalu…
    Di mana suara semangat Wanita?
    Di mana gema gelora Pemuda?
    Di mana laungan Puteri?
    Di mana suara UMNO? Suara MCA? Suara MIC? Suara PPP?
    Suara Friends of BN?
    Kita gegarkan dewan ini dengan gemuruh tekad dan semangat seluruh jentera Barisan Nasional!
  2. Alhamdulilah.. jika inilah semangatnya, Insya-Allah… Dengan izin Allah SWT.. saya yakin, Bangsa Johor akan kembali memberikan mandat kepada Barisan Nasional untuk kembali memimpin Negeri Johor… Boleh?
    Dari Mahkota lahir kekuatan,
    Ke Iskandar Puteri semarak perjuangan;
    Biar berliku jalan di hadapan,
    BN Johor menuju kemenangan.
    Maju… Johor!

    DARI JOHOR LAHIRNYA PERJUANGAN

    Bangsa Johor yang dikasihi sekalian,

  3. Johor bukan negeri biasa. Johor adalah rahim perjuangan. Johor adalah bumi bertuah yang menyatukan Istana dan rakyat.
  4. Sejarah tidak akan pernah terpadam di Tangga Istana Besar Johor. Di situlah para pendiri bangsa berhimpun. Di situlah kesedaran perjuangan dinyalakan dan di situlah kompas pembinaan negara bangsa mula memandu arah.
  5. Dari Johor lahir semangat kesatuan. Dari Johor terbit keberanian membela tanah air. Dari Johor jugalah obor perjuangan bangsa dinyalakan yang akhirnya menyinari perjalanan negara menuju kemerdekaan.
  6. Johor amat Istimewa buat Barisan Nasional. Di tanah inilah akar perjuangan bangsa dipasakkan. Di negeri inilah kesetiaan kepada Raja, kasih kepada rakyat dan maruah bangsa disatukan dalam satu jiwa yang besar – jiwa Bangsa Johor.
  7. Hari ini, di bawah payung Raja yang berdaulat, dengan penuh takzim kita lafazkan setinggi-tinggi kesetiaan. Walau ada suara yang cuba menghina institusi Kesultanan, mencerca duli-duli Tuanku mahupun menyindir hak mutlak Raja termasuk dalam soal pengampunan – saya tegaskan UMNO dan Barisan Nasional sentiasa menjunjung institusi di-Raja dan berpegang kepada perlembagaan.. dulu, kini dan selamanya!
    Daulat Tuanku!
    Daulat Tuanku!
    Daulat Tuanku!

    RUMAH BANGSA JOHOR

    Para pejuang Barisan Nasional sekalian,

  8. Semasa Perhimpunan Agung UMNO yang lalu, saya telah menggagaskan idea Rumah Bangsa kerana UMNO inilah rumah asal politik, rumah pusaka orang Melayu. Daripada Rumah Bangsa inilah lahir pelbagai wadah politik Melayu. Ada yang kekal bersama, ada yang memilih jalan berbeza. Tetapi sejauh mana pun cabang itu tumbuh, akarnya tetap bermula daripada tanah yang sama.
  9. Di Johor, Rumah Bangsa ini bukan sekadar slogan. Ia lambang penyatuan. Ia warisan perjuangan. Ia wadah yang selama ini memberi kestabilan, membawa kemakmuran dan memayungi Bangsa Johor dengan penuh keikhlasan.
  10. Rumah ini jangan dibiarkan retak… Jangan dibiarkan dimasuki muslihat… Jangan dibiarkan tergoncang oleh politik khianat… Jangan sesekali dibiarkan atapnya dibocori. Jangan termakan janji bulan dan bintang yang akhirnya tidak tertunaikan.Jadi Bangsa Johor yang saya kasihi,
  11. Rumah Bangsa Johor mesti kita pertahankan.Bumbungnya ialah kesatuan.
    Tiangnya ialah kesetiaan.
    Lantainya ialah perjuangan.
    Dindingnya ialah pengorbanan.
    Pintunya terbuka kepada mereka yang mahu kembali dengan
    keikhlasan.
  12. Rumah Bangsa ini masukilah dengan adab.. dengan kesopanan..
    Masuklah dengan keikhlasan.
    Masuklah dengan niat memperkukuh perjuangan.
    Masuklah untuk menyatukan…
  13. Hari ini, parti serpihan dah mula bercakap tentang penyatuan.. Mereka datang hanya bila pilihanraya. Hanya selepas tiang pondok mereka dimakan anai-anai, atap pun mulai bocor. Dinding pula mulai mereput.
  14. Justeru, marilah kita bersama dengan ikhlas membentuk perpaduan ini. Kalau benar ikhlas mahu bersatu, pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka demi penyatuan ummah dan kekuatan Bangsa Johor… dan biarlah PRN ini mengembalikan semula Negeri Johor sebagai tapak penyatuan negara bangsa.

    Mandat Rakyat, Kestabilan Johor

    Saudara dan saudari sekalian,

  15. Ada pihak sebelah sana mempersoalkan langkah Menteri Besar Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri. Ada yang berkata Barisan Nasional mahu bermain sandiwara politik.
  16. Tetapi hakikatnya, hari ini, esok atau tahun hadapan sekalipun, pembubaran tetap akan berlaku. Malah, selang beberapa hari sahaja selepas itu, Negeri Sembilan juga dibubarkan dan ia bukan dilakukan oleh Barisan Nasional.
  17. Kalau kita sekadar mahu selesa, kita boleh sahaja terus kekal di singgahsana kuasa. Tetapi, dengan izin Allah SWT.. kita memilih untuk mengembalikan mandat kepada rakyat, kerana bangsa Johor adalah hakim tertinggi dalam demokrasi.
  18. Rakyat Johor berhak menentukan Kerajaan yang mereka mahu. Rakyat Johor berhak memilih Kerajaan yang mampu memberi kestabilan. Rakyat Johor berhak menilai siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai menabur janji.
  19. Justeru, Barisan Nasional sekali lagi memohon mandat yang jelas.
    Mandat yang kukuh. Mandat yang mutlak.
    Mandat untuk memastikan pembangunan Johor berjalan lancar.
    Mandat supaya pelaburan terus masuk dengan yakin.
    Mandat supaya Bantuan Kasih Johor sampai tanpa gangguan.
    Mandat supaya peluang pekerjaan anak muda Johor terus
    berkembang.
  20. InsyaAllah, yakinlah.. kita melangkah masuk ke medan ini bukan dengan tangan kosong.
    Kita datang dengan rekod.
    Kita datang dengan bukti.
    Kita datang dengan pencapaian yang cemerlang.
  21. Saya berbangga melihat Johor hari ini dipimpin oleh pemimpin muda yang berwibawa, kuat bekerja dan tinggi semangatnya. Dahulu, ada yang memandang sinis. Ada yang meragui. Ada yang bertanya, mampukah 70 peratus muka-muka baharu memimpin negeri sebesar Johor ini?
    Tak sangka.. order barang lain.. sampai barang lain… Rupanya barang yang sampai itu lebih baik dari yang diorder..
    Hari ini, rakyat Johor boleh menilai.
  22. Dengan barisan Exco yang menggabungkan pengalaman dan muka-muka baharu, Johor terus bergerak. Pentadbiran berjalan. Pembangunan dirancakkan. Pelaburan digandakan. Kebajikan rakyat disantuni. Ekonomi negeri diperkukuh demi kemakmuran Bangsa Johor.
    Inilah Barisan Nasional!
  23. Tetapi kita juga sedar, pasti ada kelemahan. Pasti ada ruang yang perlu diperbaiki. Barisan Nasional Johor bukan sempurna sepenuhnya, tetapi kita tidak pernah berhenti bekerja dan tidak pernah sesekali berputus asa.
    Janji kita jelas. Bangsa Johor mesti mampu membina masa depan di buminya sendiri.
  24. Bangsa Johor mesti boleh belajar di Johor, bekerja di Johor, memiliki rumah di Johor, membina keluarga di Johor, dan mencipta kehidupan yang lebih baik di Johor.
  25. Justeru.. Johor mesti terus menjadi negeri contoh. Negeri yang bukan sahaja menarik pelaburan, tetapi mencipta pekerjaan. Bukan sahaja membina projek besar, tetapi membuka peluang untuk rakyat. Bukan hanya mencatat pertumbuhan ekonomi, tetapi memastikan anak muda Johor turut merasai nikmatnya.
    Inilah perjuangan sebenar Barisan Nasional Johor.
    Boleh kita semua sokong BN?
    Boleh kita mempertahankan BN di Negeri Johor?
    Boleh kita yakinkan pengundi untuk menyokong BN Johor?
  26. Jadi mulai esok masuk ke setiap kampung, kuasai setiap platform media sosial. Jangan berhenti sehingga hati rakyat Johor benar-benar terpaut semula kepada Barisan Nasional.
    Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,
    Alang-alang dah masuk ke medan, kita lawan.. lawan sampai menang!
    LAWAN SAMPAI… MENANG!
    LAWAN SAMPAI… MENANG!
    LAWAN SAMPAI… MENANG!

    JOHOR BUKAN MEDAN EKSPERIMEN POLITIK

    Hadirin sekalian,

  27. Kalau kita masih ingat lagi, ada parti jalanan pernah datang dengan janji besar dan cerita besar. Mereka melaungkan Barisan Nasional sudah tidak relevan. Mereka kata UMNO akan mati di Johor. Ingat lagi tak?
  28. Lihatlah hari ini. Yang mahu menggantikan UMNO kini bergelut mencari arah. Yang mahu menjadikan Johor tapak kuasa kini sibuk mempertahankan sisa pengaruh. Yang dahulu mendabik dada mahu menumbangkan kita, hari ini berdepan keretakan sesama mereka.
  29. Ingatlah, Johor bukan tempat mencuba nasib. Johor bukan tempat menumpang pengaruh. Johor bukan medan eksperimen politik dendam.
    Parti yang lahir daripada pengkhianatan jangan bercakap soal prinsip.
  30. Jadi saya mahu kita semua tanamkan, kita tidak kuat kerana lawan lemah. Kita kuat kerana kita bekerja untuk rakyat. Kita kuat kerana kita berkhidmat. Kita kuat kerana kita mendengar suara rakyat.
    InsyaAllah, kalau ini yang kita sandarkan.. melalui Rumah Bangsa, kerusi yang terlepas sebelum ini akan kembali ke-dakapan.
  31. Apa formula untuk menang? Pertama, kita mesti berani menceritakan apa yang kita telah lakukan.
  32. Jangan malu untuk menyatakan kejayaan. Jangan segan untuk mempertahankan rekod kita. Memperlihatkan kerja bukan riak dan sombong. Sebaliknya, ia adalah amanah untuk meyakinkan rakyat.
  33. Kalau kita tidak bercerita tentang kebaikan yang kita lakukan, lawan akan bercerita tentang keburukan yang direka-reka. Dalam pilihan raya ini, kita juga mesti bersedia menghadapi fitnah zaman digital.
  34. Fitnah hari ini tidak datang seperti dahulu. Ia datang dalam bentuk video pendek, potongan ucapan, poster palsu, akaun tanpa nama dan ayat yang nampak benar, tetapi isinya penuh dusta.
  35. Fitnah direka untuk membunuh keyakinan. Fitnah disusun untuk memecahkan kesatuan. Fitnah dihamparkan supaya rakyat marah, keliru dan menolak Barisan Nasional sebelum sempat menilai kerja buat kita.
  36. Saya menyeru seluruh jentera: jangan lambat menjawab fitnah.
    Jawab dengan fakta.
    Jawab dengan adab.
    Jawab dengan data.
    Jawab dengan rekod kerja.
    Tawan hati rakyat di Thread dan TikTok.. ini medan perang baru kita.
  37. Kedua, kita mesti turun dengan langkah baharu. Gerak kerja mesti lebih tersusun. Langkah kita mesti lebih kukuh. Nada kita mesti lebih yakin. Hujah kita mesti lebih kemas.
    Setiap PDM mesti hidup.
    Setiap saluran mesti dikenal pasti.
    Setiap pengundi muda mesti disantuni.
    Setiap pengundi putih mesti dipastikan keluar mengundi.
    Setiap isu tempatan mesti diselesaikan dan dijawab dengan segera.
  38. Jangan tunggu calon diumumkan baru mahu bergerak. Jangan tunggu arahan baru mahu bekerja. Jangan rancak di bilik gerakan tetapi sunyi di lapangan.
  39. Pilihan raya ini menuntut kita bekerja lebih awal, bergerak lebih laju dan menyantuni rakyat dengan lebih dekat. Kejar mereka sampai dapat. Hanyalah dengan BN masa depan Johor akan lebih cemerlang.
    Ketiga, kita mesti rangkul semua kekuatan.
  40. Saya mahu Wanita menjadi nadi santunan keluarga.
    Saya mahu Pemuda dan Puteri menjadi pasukan hadapan di lapangan dan media sosial.
    Saya mahu Veteran menjadi penasihat dan penguat semangat.
    Saya mahu cawangan menjadi pusat gerakan rakyat.
  41. MCA mesti menjadi pendamping masyarakatnya. MIC mesti memastikan masyarakat India memilih perjuangan yang sama. PPP & Friends of BN perlu menggerakkan kesinambungan perpaduan.
    Inilah kekuatan Barisan Nasional apabila semua komponen bergerak bersama. Satu panji. Satu tekad. Satu perjuangan.
  42. Jangan biarkan orang menakut-nakutkan rakyat kononnya Barisan Nasional hanya untuk satu kaum. Kita jawab dengan jelas.
    Barisan Nasional membangunkan Johor untuk semua.
  43. Bangsa Johor kukuh kerana Barisan Nasional menjadi tiang seri kestabilan. Inilah kekuatan BN. Kita tegas tanpa menindas. Kita sederhana tanpa menggadai maruah. Kita membela Melayu tanpa meminggirkan kaum lain. Kita menjaga semua tanpa melupakan akar negara.
    Kita mesti bawa mesej Barisan Nasional ke setiap penjuru Johor.

    JOHOR BUKAN MEDAN EKSPERIMEN POLITIK

    Hadirin sekalian,

  44. Kalau ada satu kalimat penting yang ingin saya ungkapkan pada hari ini, maka kalimatnya ialah: PRN Johor bukan sekadar pilihan raya negeri. PRN Johor adalah tapak penyatuan rakyat yang sebenar. Ini adalah penentu maruah! Ini adalah titik mula di mana kita akan hantar isyarat jelas ke seluruh negara: Bahawa gelombang biru Barisan Nasional kini kembali semula!
  45. Di sinilah kita mahu membuktikan bahawa BN masih kukuh. Di sinilah kita mahu membuktikan bahawa BN terus menjadi sandaran. Di sinilah kita mahu membuktikan bahawa Bangsa Johor bijak menilai antara kestabilan dan kekacauan, antara kerja dan kata-kata, antara perjuangan dan kepentingan sempit parti jalanan.
  46. Kalau boleh saya gambarkan, PRN Johor ini adalah permulaan kepada kebangkitan baharu Barisan Nasional.
    Dari Johor kita bina kebangkitan.
    Dari Johor kita susun kekuatan.
    Dari Johor kita nyalakan obor perjuangan.
    Dan Di Johor kita padamkan keangkuhan politik picisan.. politik serpihan.. dan politik jalanan!
  47. Walau ada yang cuba menidakkan kejayaan Barisan Nasional. Barang harus diingat, tanpa 30 tidak akan muncul angka 112. Hakikatnya sumbangan Barisan Nasional tidak boleh dipadam. Tanpa Barisan Nasional, baik di Johor atau di mana sahaja, kitalah yang meletakkan asas kestabilan. Kitalah yang memacu pembangunan. Kitalah yang membina kemajuan demi kepentingan rakyat.
  48. Maka.. mulai hari ini, kita tidak ada masa lagi untuk berlengah. Kita tidak boleh lagi bertelagah. Kita tidak boleh lagi membawa sengketa kecil ke medan perjuangan yang besar. Lupakan siapa yang dapat jadi calon dan siapa yang tidak. Calon kita hanya satu – calon BARISAN NASIONAL!
    Kita mesti bergerak bersama.
    Kita mesti berdiri sekata.
    Kita mesti bekerja sekuat-kuatnya.
    Kita mesti berusaha bersungguh-sungguhnya.
    Demi masa depan Bangsa Johor, BN wajib menang semula.
    Demi Bangsa Johor, kita turun ke lapangan,
    Demi Bangsa Johor, kita rapatkan saf perjuangan.
    Demi Bangsa Johor, kita pertahankan Kerajaan Barisan,
    Demi Bangsa Johor, kita pastikan Barisan Nasional terus menjadi pilihan demi kestabilan.
    Sekali kita telah mempersiapkan wadah,
    sekali kita telah mengorak langkah,
    membujur lalu melintang patah,
    Bangsa Johor tak kan mengalah.

Dengan izin Allah, kita bekerja kuat dan mohon kemenengan BN Johor.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Pelancaran Jentera Barisan Nasional Negeri Johor.
Hidup Barisan Nasional!
Hidup Bangsa Johor!