PENDAHULUAN

1.Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan sendiri bagaimana perubahan iklim telah menjadikan kejadian banjir, cuaca ekstrem dan bencana alam semakin sukar dijangka. Hakikat ini menuntut kerajaan untuk memperkukuh tahap kesiapsiagaan agar bantuan dapat disampaikan dengan pantas.

2. Saya tahu rakyat Johor tidak asing dengan situasi banjir. Hampir setiap tahun, apabila musim tengkujuh tiba, ada kawasan yang diuji, ada keluarga yang terpaksa berpindah dan ada harta benda yang musnah. Sebab itu, saya bersama YAB Menteri Besar Johor sentiasa meneliti apa lagi yang perlu kita lakukan untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan mempercepat penyaluran bantuan kepada mangsa serta kebajikan mereka.

3. Salah satunya adalah dengan membina sebuah struktur kekal di kawasan sering terkesan banjir bagi mempercepatkan proses penyelamatan dan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) SK Seri Medan ini adalah langkah baharu yang telah diambil.

KESIAPSIAGAAN KERAJAAN MENGHADAPI RISIKO EL NIÑO DAN MONSUN BARAT DAYA

Hadirin yang saya hormati sekalian,

4. Lanskap bencana menuntut kerajaan untuk sentiasa menilai semula tahap kesiapsiagaan negara agar kita sentiasa selangkah di hadapan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

5. Ketika negara sedang melalui Monsun Barat Daya, kita turut berdepan risiko cuaca panas dan kering yang boleh meningkatkan ancaman kebakaran terbuka, kemarau serta jerebu. Kita turut mengambil kira unjuran bahawa fenomena El Niño dijangka berterusan sehingga awal tahun 2027.

6. Saya telah meminta NADMA selaku agensi penyelaras pengurusan bencana negara untuk memperkukuh langkah-langkah mitigasi bersama kementerian dan agensi berkaitan. Antaranya termasuk penyelarasan tujuh (7) siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) melibatkan 27 penerbangan sejak Februari lalu, pemantauan kawasan berisiko tinggi, pengurusan sumber air secara lebih sistematik serta pelaksanaan pelbagai langkah kesiapsiagaan bagi mengurangkan impak cuaca ekstrem kepada rakyat.

INISIATIF PEMBINAAN PUSAT PEMINDAHAN KEKAL BENCANA (PPKB)

Hadirin yang saya hormati sekalian,

7. Kita seharusnya berbangga, kerana PPKB Seri Medan ini merupakan PPKB binaan baharu pertama di Malaysia yang dibina sepenuhnya di atas tapak baharu. Dan Batu Pahat ialah lokasi yang tepat untuk memulakan usaha ini memandangkan daerah ini antara yang kerap berdepan dengan banjir.

8. Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM7.6 juta bagi menjayakan projek ini. Bagi saya, apabila melibatkan keselamatan, kebajikan dan nyawa rakyat, peruntukan ini bukan sekadar kos, tetapi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi rakyat ketika musibah.

9. Selama ini, sebahagian besar Pusat Pemindahan Sementara menggunakan premis sekolah. Dalam keadaan kecemasan, ia memang diperlukan, namun kita juga sedar kesannya kepada sesi persekolahan, kemudahan sekolah dan keselesaan mangsa.

10. Sebab itu, saya melihat pembinaan PPKB ini bukan hanya tentang menambah sebuah lagi fasiliti Baharu, tetapi mengubah cara kita mengurus bencana. Kita mahu memastikan urusan pemindahan mangsa berjalan dengan lebih lancar dan tidak mengganggu proses pembelajaran anak-anak.

11. Saya tidak mahu pusat pemindahan hanya menjadi tempat mangsa berteduh, saya mahu mereka selesa. Atas sebab itulah, PPKB ini dibina untuk menempatkan sehingga 500 orang mangsa dan dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti ruang memasak, surau, bekalan air, sanitasi serta kemudahan khas untuk warga emas dan OKU.

12. Bagi saya, ketika rakyat diuji dengan musibah, mereka bukan sahaja memerlukan tempat berlindung, tetapi ruang yang selamat, selesa dan bermaruah. Itulah nilai utama yang dibawa melalui PPKB ini. Tapi kalau tiada bencana, orang Seri Medan boleh lah gunakan untuk aktiviti komuniti, program kemasyarakatan dan latihan kesiapsiagaan agar manfaatnya terus dirasai rakyat sepanjang masa.

MEMBINA KOMUNITI YANG LEBIH BERDAYA TAHAN

Hadirin sekalian,

13. Dalam bencana, masa adalah nyawa. Setiap minit penting. Sebab itu, saya sentiasa menekankan supaya penyelarasan antara agensi diperkukuh, prosedur dipermudah dan bantuan disampaikan secepat mungkin kepada mangsa.

14. Saya juga percaya, Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti atau Community-Based Disaster Risk Management (CBDRM) adalah pendekatan yang cukup penting.. kerana dalam apa jua bencana… komuniti setempat merupakan pihak yang paling awal berhadapan dengan sesuatu bencana sebelum bantuan luar tiba.

15. Saya yakin, apabila komuniti setempat dapat mengenali laluan pemindahan dan saling membantu, kita bukan sahaja dapat mengurangkan impak bencana itu, malah dapat melindungi lebih banyak nyawa sementara menunggu bantuan tiba.

16. Sebab itulah pengurusan bencana bukan menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata. Ia memerlukan penglibatan semua pihak — kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil, institusi pendidikan serta komuniti setempat.

KKDW & JOHOR

17. InsyaAllah saya yakin bila kita dapat membantu kesejahteraan rakyat, ia akan sekaligus meningkatkan ekonomi di negeri. Di Negeri Johor, pada tahun ini sahaja, KKDW telah memperuntukkan sebanyak RM271.2 juta untuk melaksanakan projek-projek pembangunan.

18. Dan yang lebih penting, rakyat di Batu Pahat ini turut dapat merasai sendiri manfaatnya. Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM5.84 juta telah disalurkan bagi melaksanakan pelbagai projek di Batu Pahat meliputi:

i. 1 projek Jambatan Luar Bandar (JMLB) bernilai RM3.39 juta;

ii. 1 projek dan 5 sub projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) bernilai RM1.05 juta;

iii. 1 projek dan 7 sub projek Program Ameniti Sosial (PAMS) bernilai RM900 ribu;

iv. 1 projek Kesejahteraan Rakyat (KR) melibatkan 3 unit bina Baharu dan 2 unit baik pulih PPRS bernilai RM301 ribu; dan

v. 1 projek di bawah KEMAS bernilai RM200 ribu.

19. Alhamdulillah, hasilnya kini dapat kita lihat. Dalam tempoh empat tahun pentadbiran Kerajaan Negeri, Johor telah berjaya menarik RM272 bilion pelaburan dan mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan.

20. Malah, pada tahun 2025, Johor Berjaya merekodkan RM110 bilion pelaburan, menjadikan nilai pelaburan tertinggi diluluskan dalam sejarah negara. Inilah momentum yang kita mahu terus kekalkan demi masa depan rakyat Johor.

21. Saya yakin, selagi mana rakyat di Batu Pahat dan seluruh Johor terus menyokong Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, insyaAllah lebih banyak pembangunan dapat kita bawa dan lebih banyak manfaat dapat dinikmati oleh rakyat negeri ini.

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

22. Bencana mungkin tidak dapat kita elakkan sepenuhnya. Tetapi kita boleh bersedia, kita boleh mengurangkan risikonya. Dan kita boleh memastikan rakyat mendapat perlindungan yang sewajarnya apabila mereka berdepan saat-saat yang sukar.

23. Saya berharap Pusat Pemindahan Kekal Bencana SK Seri Medan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pengurusan bencana negara, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan kita dalam menghadapi apa jua cabaran pada masa hadapan.

24. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Peluncuran dan Simulasi Pengurusan Operasi Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) SK Seri Medan, Batu Pahat, Johor.

Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.