Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan.
MUKADIMAH
Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
1.Bencana tidak pernah menghantar jemputan. Banjir tidak menunggu kita bersedia, dan tanah runtuh boleh mengubah kehidupan dalam sekelip mata. Dalam keadaan cuaca yang semakin sukar dijangka, kesiapsiagaan mesti menjadi sebahagian daripada cara kita merancang pembangunan, mengurus negara dan melindungi rakyat.
2. Kita sayu kadang membayangkan seorang ibu mendakap erat anak kecil ketika air banjir semakin naik. Seorang ayah melihat rumah yang dibina ditenggelami air. Seorang warga emas pula terpaksa meninggalkan kediaman yang menyimpan kenangan sepanjang hidupnya. Bagi mereka, yang tenggelam bukan sekadar rumah dan harta benda, tetapi rasa selamat yang selama ini menjadi tempat mereka berpaut.
3. Sebab itu, pada hari ini kita perlu bertanya:
Adakah rakyat kita sudah cukup bersedia sebelum musibah datang?
Adakah sistem kita cukup pantas untuk memberi amaran? dan;
Tatkala bencana berlaku, adakah setiap agensi benarbenar tahu apa yang perlu dilakukan?
4. Pada tahun 2025 sahaja, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan kerugian akibat bencana di negara ini mencecah RM636.9 juta, termasuk RM380.2 juta melibatkan aset awam dan infrastruktur. Walaupun jumlah ini menurun berbanding RM933.4 juta pada tahun sebelumnya, kesannya tetap mendalam bagi mereka yang kehilangan kediaman, terputus sumber pendapatan dan terpaksa membina semula kehidupan.
5. Sebab itu, kesiapsiagaan mesti melindungi dua nilai penting: nilai kehidupan dan nilai ekonomi. Kita mahu menyelamatkan nyawa, di samping melindungi kediaman, mata pencarian dan hasil usaha rakyat. Di sinilah letaknya kepentingan Bulan Kesiapsiagaan Nasional dalam membina keupayaan untuk melindungi kedua-duanya sebelum sebarang musibah melanda.
KURANGKAN RISIKO SEBELUM BENCANA
Hadirin yang saya hormati,
6. Setiap kali bencana berlaku – pasukan penyelamat akan digerakkan, pusat pemindahan dibuka dan bantuan disalurkan. Namun, kecekapan bertindak selepas bencana mesti disertai kesungguhan mengurangkan risiko sebelum ianya berlaku. Ukuran kejayaan kita juga ialah sejauh mana rakyat dapat dilindungi dan mengurangkan risiko mereka yang akan terkesan.
7. Hakikatnya, risiko kadangkala terbina bertahuntahun sebelum hujan lebat turun. Ia bermula apabila pembangunan tidak mengambil kira aliran air, sistem saliran tidak seiring dengan pertumbuhan bandar dan penempatan terus berkembang di kawasan berisiko. Sedar atau tidak, keputusan yang kita buat hari ini sebenarnya bakal mewariskan kerentanan kepada rakyat di tahun mendatang.
8. Sebab itu, pengurangan risiko bencana mesti hadir sejak awal dalam perancangan guna tanah, pembangunan bandar, pengurusan sungai, jalan raya, perumahan dan infrastruktur. Kita tidak boleh membina sebuah kawasan dengan pantas tetapi kemudian membiarkan keselamatan penduduknya mengejar dari belakang.
It is a shared risk that requires shared action.
9. Tapi alhamdulilah… asbab kerja keras kita.. hari ini kita sudah mempunyai struktur penyelarasan melalui Majlis Pengurusan Bencana Negara, Arahan NADMA No. 1 dan jawatankuasa pengurusan bencana di setiap peringkat. Tetapi tidak boleh berhenti di situ.. struktur yang baik sahaja tidak cukup.
10. Ia mesti diterjemahkan kepada tindakan yang jelas di lapangan. Seperti yang selalu saya tekankan, we have to work as one team. Jangan biarkan sempadan pentadbiran menjadi sempadan tanggungjawab. Apabila bencana di depan mata dan nyawa rakyat dipertaruhkan, semua agensi mesti bergerak dengan satu matlamat –
11. Semangat kerjasama ini turut diterjemahkan melalui program PRESTIJ antara NADMA dan Jabatan Perkhidmatan Awam – yang telah melahirkan kohort pertama Specialist Gred A selepas latihan di University of Tokyo. Insya-Allah, kepakaran ini saya percaya akan memperkukuh gerak kerja bersama dan meningkatkan keberkesanan tindakan kita di lapangan.
PANTAS BERTINDAK, SELAMATKAN NYAWA
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Dalam bencana, beberapa minit boleh menentukan hidup atau mati. Amaran awal mampu memberi sebuah keluarga masa untuk keluar sebelum air naik, membantu warga emas berpindah dan membawa anak-anak ke tempat selamat. Sebab itu, amaran mesti sampai tepat pada masanya, mudah difahami dan disusuli tindakan. Communication is key.
13. Sebab itu lah, saya menyambut baik pembangunan Cell Broadcast System oleh MCMC yang kini berada pada fasa akhir. Melalui sistein ini nanti.. amaran boleh disampaikan terus kepada telefon bimbit di kawasan terancam tanpa menggunakan data peribadi.
14. Satu perkara penting kita tahu ialah teknologi hanya berkesan kalau rakyat mempercayai maklumat yang betul. Sebab itu saya mahu kita membiasakan masyarakat merujuk saluran rasmi dan tidak mengikuti maklumat yang belum disahkan.
15. Kita juga berbangga dengan Pasukan SMART yang berjaya mengekalkan klasifikasi antarabangsa Heavy Urban Search and Rescue tahun ini, selepas penilaian selama 36 jam melibatkan 173 kriteria. Saya pernah sebut sebelum ini dan akan sebut sekali lagi – SMART Team kita memang world-class.
KESIAPSIAGAAN MESTI SAMPAI KEPADA RAKYAT
Saudara dan saudari sekalian,
16. Kita sedar beberapa bulan ini kita akan menempuhi cabaran yang besar.. Monsun Timur Laut 2026/2027, kita menghadapi banjir dibeberapa kawasan. Pada masa yang sama, risiko El Niño menuntut persediaan terhadap cuaca panas dan kering berpanjangan. Kita berdepan dua keadaan berbeza yang masing-masing memerlukan perhatian dan persediaan rapi.
17. Jadi… NRES, PETRA, KPKT serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.. semua mempunyai peranan masing-masing baik dari segi pemantauan cuaca, bekalan air, operasi menyelamat mahupun pengeluaran makanan. Saya mahu NADMA sentiasa menyelaras persediaan ini supaya semua pihak bertindak lebih awal dan bergerak seiring.
18. All of this requires proper planning and coordination. Disasters can strike anytime, anywhere. Ingat.. banjir di Nepal dan siklon di Sri Lanka mengingatkan kita betapa cepat kehidupan boleh berubah. Kita sendiri juga menerima laporan gegaran di tempat yang tak pernah merasai gegaran sebelum ini. So what do we do about it?
19. Sebagai contoh, di kawasan yang sering dilanda banjir, penduduk mesti tahu ke mana hendak berpindah… siapa yang akan membantu… dan bagaimana bantuan boleh sampai jika jalan terputus. Bagi kawasan yang terdedah kepada kemarau pula, bekalan air dan keperluan pertanian mesti dirancang lebih awal. Inilah maksud saya persediaan awal – apabila keadaan menjadi genting (Nauzubillah-himinzalik) – kita sudah tahu apa yang perlu dilakukan dan bersedia untuk bertindak.
20. Justeru, saya mahu setiap negeri menterjemahkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 kepada pelan tindakan mengikut risiko setempat, dengan tanggungjawab agensi dan sasaran pelaksanaan yang jelas. Dasar ini mesti benar-benar menghasilkan perlindungan yang menyeluruh kepada rakyat.
21. Pelaksanaan di lapangan juga perlu disokong oleh kekuatan masyarakat. Dalam tempoh sekitar sepuluh bulan, hampir 30,000 sukarelawan daripada 45 organisasi di 14 negeri terlibat dalam lebih seribu misi bantuan. Saya menghargai pengorbanan mereka serta sokongan sektor swasta. Namun, kerjasama ini mesti diselaraskan sejak awal supaya bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan.
22. Kerajaan pula mesti memastikan mangsa mendapat perlindungan yang selamat, selesa dan bermaruah seperti pembangunan Pusat Pemindahan Kekal Bencana. Saya turut menghargai sumbangan TNB melalui khemah privasi mangsa atau C-Tent. Urusan Bantuan Wang Ihsan juga mesti dipermudahkan, dengan garis masa pendaftaran dan pengesahan yang jelas. Percayalah, ketika rakyat sedang susah, kecekapan kerajaan juga adalah satu bentuk ihsan dan ibadah yang besar nilainya.
23. Alhamdulillah, komitmen menjaga kebajikan mangsa ini turut diperkukuh melalui Belanjawan 2027. Sebanyak RM260 juta diperuntukkan kepada NADMA, manakala kadar bantuan pembaikan rumah mangsa bencana ditingkatkan daripada RM5,000 kepada RM10,000, bagi membantu keluarga yang terjejas membaiki kediaman dan memulihkan kehidupan. Ini adalah sebahagian dari banyak kelebihan yang diberikan untuk pengurusan bencana negara.
PENUTUP
Saudara dan saudari sekalian,
24. Akhirnya, saya mahu kita berpegang pada dua perkara: communication and coordination – two C’s. Maklumat mesti sampai dengan jelas dan tepat pada masanya. Tindakan pula mesti diselaraskan supaya rakyat tahu apa yang perlu dilakukan, komuniti tahu bagaimana mahu membantu dan agensi bertindak tanpa berlengah.
25. Inilah perubahan yang saya mahu daripada Bulan Kesiapsiagaan Nasional. Jangan tunggu bencana untuk belajar bersedia. Jangan tunggu kehilangan untuk mula bertindak bersama. Kita mesti mengurangkan risiko sebelum musibah, melindungi rakyat ketika bencana dan membantu mereka bangkit selepasnya.
26. Preparedness is not a seasonal reaction; it is a permanent culture. Jadikan kesiapsiagaan sebahagian daripada cara kita bekerja dan cara kita hidup. Kerana nyawa rakyat terlalu berharga untuk kita hanya bersedia setelah terlambat.
27. Dengan tekad tersebut, saya dengan sukacitanya meluncurkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026, bertemakan “MADANI SIAGA: TANGGUNGJAWAB BERSAMA.”
Sekian, terima kasih.
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
