MUKADIMAH
1. Ada satu kisah inspirasi yang saya ingin kongsikan, tentang tiga orang tukang batu. Apabila ditanya apakah yang sedang mereka lakukan, orang pertama menjawab, “Saya sedang menyusun batu.” Orang kedua menjawab, “Saya sedang mencari nafkah.” Tetapi orang ketiga menjawab dengan penuh yakin, “Saya sedang membina sebuah rumah ibadah yang akan memberi manfaat kepada ramai orang.”
2. Tiga orang itu melakukan kerja yang sama, menggunakan alat yang sama, dan berada di tempat yang sama. Namun, yang membezakan mereka ialah cara mereka melihat makna di sebalik kerja tersebut. Seorang melihat tugasan. Seorang melihat pekerjaan. Tetapi seorang lagi melihat amanah, tujuan dan sumbangan yang jauh lebih besar daripada dirinya.
3. Inilah juga hakikat perkhidmatan kita di KKDW. Ada yang mengurus fail, ada yang menyediakan laporan, ada yang memantau projek, ada yang turun ke lapangan, ada yang mengajar anak-anak KEMAS, ada yang membimbing pelatih TVET, ada yang menyantuni komuniti Orang Asli, dan ada yang memastikan setiap program sampai kepada rakyat. Pada zahirnya mungkin kelihatan sebagai tugas harian, tetapi pada hakikatnya semua itu adalah sebahagian daripada usaha besar membina masa depan desa dan negara.
4. Sebab itu kita jangan melihat Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi ini dari sudut anugerah yang diberikan semata-mata, tetapi kita mesti melihat dan mengangkat makna sebuah perkhidmatan. Kita meraikan mereka yang bekerja bukan hanya kerana arahan, bukan hanya kerana penilaian tahunan, tetapi kerana mereka memahami bahawa di sebalik setiap tugas, ada rakyat yang menunggu hasilnya.
5. Inilah medan untuk kita semua memperbaharui tekad bahawa perkhidmatan awam adalah amanah, tanggungjawab dan ibadah. Kita mengiktiraf pengorbanan yang kadang-kadang tidak kelihatan, tetapi kesannya dirasai oleh rakyat di desa, kampung, pedalaman dan wilayah luar bandar.
PERKHIDMATAN CEMERLANG BERMULA DENGAN AMANAH
Hadirin sekalian,
6. Perkhidmatan cemerlang tidak bermula dengan anugerah. Ia bermula dengan amanah. Ia bermula dengan rasa tanggungjawab bahawa setiap tugasan yang kita pikul, walaupun kelihatan kecil, sebenarnya mempunyai kaitan dengan kehidupan rakyat.
7. Di KKDW, amanah kita bukan kecil. Kementerian ini memikul tanggungjawab besar untuk memastikan pembangunan desa dan wilayah terus bergerak secara inklusif, mampan dan berimpak tinggi. Kita menjaga prasarana luar bandar, pendidikan awal, TVET, keusahawanan, ekonomi desa, pembangunan komuniti, kesejahteraan Orang Asli dan masa depan masyarakat luar bandar.
8. Maka, kecemerlangan dalam KKDW tidak boleh dilihat hanya pada fail yang selesai, mesyuarat yang dihadiri atau laporan yang dihantar. Semua itu penting. Tetapi yang lebih penting ialah sama ada kerja kita benar-benar menyelesaikan masalah rakyat.
Kalau jalan desa siap, adakah ia memudahkan anak-anak ke sekolah?
Kalau bekalan air disalurkan, adakah ia mengangkat maruah kehidupan keluarga? Kalau latihan diberikan, adakah ia membuka peluang pekerjaan?
Kalau program keusahawanan dijalankan, adakah ia benar-benar meningkatkan pendapatan?
9. Inilah makna perkhidmatan cemerlang yang sebenar. Sebab itu juga saya pernah menyeru agar kita semua berpegang kepada prinsip ‘Amanah,’ ‘Zahir’ dan ‘Hasil’. Amanah untuk memikul tanggungjawab dengan ikhlas. Zahir untuk menterjemahkan perancangan kepada tindakan. Hasil untuk memastikan setiap usaha benar benar memberi perubahan kepada rakyat.
WARGA KKDW SEBAGAI PENGGERAK PEMBANGUNAN DESA
Hadirin sekalian,
10. Negara kini sedang melangkah ke fasa baharu pembangunan melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas 2026 hingga 2030. Dalam fasa ini, Kerajaan memberi tumpuan kepada ekonomi yang lebih berdaya saing, teknologi, pendigitalan, kecerdasan buatan dan
sistem penyampaian awam yang lebih cekap.
11. Bagi Kementerian kita, semua ini mesti diterjemahkan melalui Pelan Strategik KKDW 2026 hingga 2030 supaya pembangunan desa bergerak lebih tersusun, lebih bersepadu dan lebih memberi kesan kepada rakyat.
12. Saya mahu seluruh warga KKDW melihat peranan masing-masing dalam konteks yang lebih besar iaitu penggerak pembangunan desa. Kita adalah jambatan antara dasar Kerajaan dengan kehidupan rakyat di kampung, di desa, di pedalaman, di pusat latihan, di premis usahawan dan di komuniti luar bandar.
13. Inilah kekuatan sebenar KKDW. Kita mempunyai ekosistem yang besar, tetapi kekuatan ini hanya bermakna jika kita bergerak sebagai satu pasukan. Sebab itu, budaya ‘silo’ mesti kita putuskan. Pembangunan desa hari ini bukan hanya soal bantuan, tetapi soal membina ekosistem yang mampu mencipta pendapatan, pekerjaan, mobiliti sosial dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat.
DARIPADA BUDAYA PEMATUHAN KEPADA BUDAYA IMPAK
Hadirin sekalian,
14. Saya ingin bertanya, apa yang difahami apabila kita melihat tema majlis hari ini, “Memacu Transformasi, Menjulang Prestasi”? Mungkin ada yang melihat transformasi sebagai menukar sistem manual kepada digital, memperkenalkan aplikasi baharu, atau sekadar memperkemas prosedur di atas kertas.
15. Tetapi hakikatnya, ia lebih daripada itu. Transformasi sebenar bermula daripada cara kita berfikir dan cara kita bekerja. Ia menuntut budaya kerja yang lebih lincah, keberanian membuat keputusan, kejujuran menilai kelemahan, serta kesediaan untuk berubah apabila sesuatu pendekatan tidak lagi memberi hasil. Sebab itu saya sering menegaskan, KKDW mesti bergerak daripada culture of compliance kepada culture of impact.
16. Selait itu, pelaksanaan 28 game changer KKDW juga mesti dilihat sebagai gerakan untuk membawa perubahan sebenar di lapangan. Yang berjaya, kita perlu besarkan. Yang perlahan, kita percepatkan. Yang bertindih, kita selaraskan. Yang tidak memberi impak, kita perbaiki atau berani hentikan.
17. Inilah disiplin baharu yang saya mahu dalam KKDW. Lebih pantas bertindak, lebih dekat dengan rakyat, dan lebih tegas memastikan setiap ringgit, setiap program dan setiap keputusan benar-benar membawa hasil.
HALA TUJU KE ARAH KECEMERLANGAN BERTERUSAN
18. Justeru, untuk memastikan KKDW terus cemerlang dan bergerak dengan hala tuju yang jelas dan berterusan, saya ingin menyeru..
19. Pertama, setiap warga KKDW perlu mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat. Jangan rasa selesa dengan pengetahuan sedia ada, sebaliknya terus berusaha meningkatkan kemahiran, memahami perkembangan baharu dan menyesuaikan diri dengan keperluan semasa.
20. Kedua, kita mesti berani berinovasi dan mencuba pendekatan baharu. Jangan takut untuk mencadangkan idea, memperbaiki proses dan mencari jalan yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Inovasi bukan hanya milik pegawai tertentu, tetapi tanggungjawab semua.
21. Ketiga, kita perlu memperkukuh integriti dan akauntabiliti dalam setiap tindakan. Kecemerlangan tanpa integriti tidak akan bertahan. Setiap keputusan, setiap perbelanjaan dan setiap pelaksanaan mesti dilakukan dengan penuh amanah dan ketelusan.
22. Keempat, jadikan setiap tugas sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Tidak kira besar atau kecil, setiap tanggungjawab mempunyai nilai. Apabila setiap individu melaksanakan tugas dengan penuh komitmen, keseluruhan organisasi akan bergerak ke arah kecemerlangan.
23. Inilah hala tuju yang perlu kita pegang bersama. Jika kita konsisten dalam usaha ini, saya yakin KKDW akan terus melahirkan warga kerja yang bukan sahaja cemerlang, tetapi juga berintegriti, berdaya tahan dan sentiasa relevan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.
PENUTUP
24. Justeru, marilah kita menjadikan majlis ini sebagai detik untuk memperbaharui tekad. Yang cemerlang kita raikan. Yang baik kita perkasakan. Yang lemah kita perbaiki. Yang memberi impak kepada rakyat kita perluaskan.
25. Kepada penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, sekali lagi saya ucapkan tahniah. Jadikan anugerah ini sebagai penyala semangat untuk terus mencipta kecemerlangan yang lebih besar. Kepada seluruh warga KKDW, jadikan majlis ini sebagai dorongan untuk kita terus melakar prestasi tinggi sebagai satu pasukan.
26. Saya yakin, jika seluruh warga KKDW bergerak sebagai satu pasukan, kementerian ini akan terus menjadi tunjang utama dalam mengangkat desa, membela rakyat dan membina masa depan negara yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan bermaruah.
Sekian,
Wabillahi taufik walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
