Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

Salam Hormat kepada seluruh warga Jabatan Imigresen Malaysia.

MUKADIMAH
1. Kita sedang hidup dalam sebuah dunia yang berubah pada kadar yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini. Dalam tempoh hanya beberapa tahun, kita menyaksikan pandemik melumpuhkan pergerakan manusia di seluruh dunia. Konflik perdagangan geopolitik antarabangsa. mengubah landskap Kecerdasan buatan mengubah cara manusia bekerja. Jenayah rentas sempadan menjadi semakin kompleks. Persaingan merebut pelaburan, bakat dan teknologi kini berlaku tanpa mengenal sempadan.

2. Sempadan sesebuah negara hari ini bukan lagi sekadar garisan di atas peta. Ia telah menjadi barisan hadapan yang menentukan keselamatan negara, daya saing ekonomi dan kedaulatan sesebuah bangsa.

3. Dalam dunia yang semakin terbuka, tanggungjawab untuk melindungi negara menjadi semakin besar. Dalam dunia yang semakin pantas, keperluan untuk memudah cara urusan menjadi semakin mendesak. Dan dalam dunia yang semakin kompleks, setiap keputusan yang dibuat oleh Jabatan Imigresen membawa implikasi yang jauh melangkaui urusan keluar masuk sempadan.

4. Sebab itulah saya ingin tegaskan pada hari ini bahawa Jabatan Imigresen Malaysia bukan sekadar sebuah agensi penguat kuasa. Jabatan ini ialah antara institusi strategik negara.

5. Saudara-saudarilah benteng pertama yang mempertahankan kedaulatan Malaysia. Pada masa yang sama, saudara-saudarilah pintu hadapan negara yang membentuk tanggapan pertama dunia terhadap Malaysia.

6. Prinsip saya dari dahulu,

Apabila Imigresen berfungsi dengan cekap, ekonomi negara bergerak lebih pantas.
Apabila Imigresen berfungsi dengan berintegriti, keselamatan negara menjadi lebih kukuh.
Dan apabila Imigresen bersedia menghadapi cabaran masa hadapan, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih berdaya saing dan lebih diyakini di mata dunia.

CABARAN BAHARU MEMERLUKAN CARA BERFIKIR BAHARU

Hadirin dan hadirat sekalian,

7. Hari ini, dunia berhadapan dengan persaingan geopolitik yang semakin sengit, konflik serantau yang berpanjangan, gangguan rantaian bekalan global, jenayah rentas sempadan yang semakin terancang, serta perkembangan teknologi yang bergerak lebih pantas menguji keupayaan sesetengah negara untuk menyesuaikan dasar dan sistem mereka.

8. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan lebih 304 juta manusia kini tinggal di luar negara asal mereka. Pada masa yang sama, Pertubuhan Buruh Antarabangsa menganggarkan lebih 169 juta merupakan pekerja migran yang menjadi penggerak kepada ekonomi dunia. Pergerakan manusia hari ini bukan lagi fenomena bermusim, tetapi menjadi sebahagian daripada realiti ekonomi global.

9. Malaysia tidak terkecuali daripada perubahan besar ini. Sebagai sebuah negara perdagangan yang terbuka, destinasi pelaburan serantau dan antara pintu masuk utama di ASEAN, kita menerima jutaan pergerakan keluar  masuk setiap tahun melibatkan pelancong, pelabur, tenaga mahir, pelajar antarabangsa dan pekerja asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

10. Namun, di sebalik peluang tersebut, hadir juga cabaran yang semakin rumit. Kita berhadapan dengan penyalahgunaan kemudahan imigresen, pemalsuan dokumen perjalanan penyeludupan migran, yang semakin pemerdagangan canggih, orang, penyalahgunaan pas lawatan, isu tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, sindiket rentas sempadan serta ancaman keselamatan yang semakin sukar dikesan melalui kaedah konvensional.

11. Lebih mencabar, kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence turut mengubah landskap keselamatan sempadan. Hari ini, identiti boleh dipalsukan secara digital, dokumen boleh dimanipulasi menggunakan teknologi deepfake, dan jenayah rentas negara semakin memanfaatkan ruang siber untuk mengaburi penguatkuasaan.

12. Jadi saya lihat cabaran Imigresen pada hari ini bukan lagi sekadar menentukan siapa yang boleh masuk atau keluar dari negara tetapi cabaran memastikan Malaysia terus terbuka kepada mereka yang membawa nilai kepada negara, tanpa mengancam keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat.

13. Inilah hakikat baharu yang sedang kita hadapi. Pendek kata, dunia telah berubah. Maka ukuran kejayaan Jabatan Imigresen Malaysia juga mesti berubah, bukan lagi sekadar pada angka dan statistik, tetapi pada keupayaan kita melindungi negara, memudah cara pertumbuhan ekonomi serta membina sebuah institusi yang diyakini rakyat dan dihormati dunia.

EMPAT MANDAT, SATU ARAH TRANSFORMASI IMIGRESEN

Tuan-tuan dan puan-puan,

14. Tetapi hari ini ke arah manakah perubahan itu harus kita bawa? Transformasi tidak boleh berlaku secara berselerak. Ia tidak boleh bergantung kepada inisiatif yang bergerak secara berasingan atau perubahan yang bersifat sementara.

15. Transformasi memerlukan satu hala tuju yang jelas. Satu falsafah yang dikongsi bersama. Dan satu tekad yang diterjemahkan dalam setiap dasar, setiap sistem dan setiap tindakan.

16. Sebab itulah saya percaya, perjalanan Jabatan Imigresen Malaysia ke hadapan mesti dipandu oleh Empat Mandat, Satu Arah Transformasi Imigresen. 

17. Mandat ini seharusnya menjadi kompas strategik yang akan menentukan bagaimana Jabatan Imigresen Malaysia kekal relevan, diyakini dan dihormati dalam dekad-dekad akan datang.

18. Mandat Pertama ialah menjadi pemudah cara kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dalam dunia hari ini, pelaburan tidak hanya memilih negara yang menawarkan insentif terbaik. Pelaburan memilih negara yang cekap. Bakat global memilih negara yang mudah diakses. Pelancong memilih negara yang memberikan pengalaman yang pantas dan selamat.

19. Setiap kelewatan yang tidak perlu, setiap proses yang terlalu rumit dan setiap birokrasi yang berlebihan akhirnya memberi kesan kepada daya saing negara.

20. Kita Ambil contoh UAE menyepadukan dasar imigresen dengan strategi menarik pelaburan dan bakat global melalui program Golden Visa sehingga 10 tahun. Pendekatan ini turut menyumbang kepada rekod pelaburan langsung asing sebanyak RM196.6 bilion pada tahun 2025, sekali gus meletakkan UAE di kedudukan kesembilan dunia sebagai destinasi pelaburan asing bagi tahun keempat berturut-turut.

21. Oleh itu, Imigresen bukan sekadar mengawal pintu masuk negara, tetapi menjadi peranan strategik baharu ini yang mesti terus diperkukuhkan.

22. Mandat Kedua ialah memperkukuhkan keselamatan dan kedaulatan negara. Keselamatan hari ini tidak lagi sama seperti sedekad yang lalu. Ancaman kini bergerak merentasi sempadan tanpa mengenal waktu. Sindiket penyeludupan migran semakin tersusun. Pemerdagangan orang menjadi semakin kompleks.

23. Jenayah kewangan, penyeludupan, eksploitasi buruh, penyalahgunaan dokumen perjalanan dan ancaman keganasan semakin memanfaatkan teknologi serta rangkaian antarabangsa.

24. Justeru, penguatkuasaan tidak lagi boleh hanya bersifat reaktif. Ia mesti dipacu oleh risikan. Diperkasakan oleh data. Disokong oleh teknologi dan dilaksanakan melalui kerjasama yang lebih erat antara semua agensi penguatkuasaan negara.

25. Mandat Ketiga ialah mempercepatkan transformasi digital dan inovasi perkhidmatan. Masa depan pengurusan imigresen mesti dipacu oleh penggunaan data raya, kecerdasan buatan, analitik ramalan, identiti digital, biometrik serta sistem sempadan pintar yang membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, lebih tepat dan lebih selamat.

26. Digital bukan lagi pilihan. Digital ialah prasyarat kepada sebuah organisasi yang cekap, tangkas dan diyakini. Lihat sahaja Singapura, misalnya, telah memperkenalkan pelepasan sempadan tanpa pasport melalui teknologi biometrik wajah dan iris. 

27. Pada tahun 2025, hampir 127 juta pelawat melepasi kawalan imigresen tanpa mengemukakan pasport, meningkat 270.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. Purata masa pelepasan bagi setiap pelawat turut dipendekkan daripada 25 saat kepada hanya 10 saat.

28. Justeru, saya mahu Jabatan Imigresen Malaysia menjadi sebuah organisasi yang memanfaatkan teknologi bukan sekadar untuk bekerja dengan lebih pantas, tetapi untuk berfikir dengan lebih bijak, bertindak dengan lebih tepat dan memberikan perkhidmatan bertaraf dunia.

29. Mandat Keempat ialah memperkukuhkan integriti, profesionalisme dan nilai kemanusiaan. Ya, teknologi boleh membantu kita bekerja dengan lebih pantas, tetapi hanya integriti yang mampu membina kepercayaan. Profesionalisme pula bukan sekadar mematuhi prosedur, tetapi kebijaksanaan membuat pertimbangan yang betul dan keberanian melakukan perkara yang benar.

30. Saya mahu Jabatan Imigresen Malaysia dikenali bukan sahaja kerana ketegasannya menguatkuasakan undangundang, tetapi juga kerana profesionalismenya, integritinya dan nilai kemanusiaannya. Itulah asas kepada sebuah institusi yang dihormati rakyat dan diyakini dunia.

31. Insya-Allah, apabila keempat-empat mandat ini dilaksanakan secara menyeluruh, kita bukan sekadar membina sebuah jabatan yang lebih cekap, tetapi melakar wajah baharu Jabatan Imigresen Malaysia sebagai sebuah institusi strategik yang menjadi benteng kedaulatan negara, pemangkin daya saing ekonomi dan simbol kepercayaan rakyat.

MELAKAR WAJAH BAHARU IMIGRESEN MALAYSIA

Hadirin dan hadirat sekalian,

32. Sebagai seorang Menteri yang pernah memimpin kementerian yang menerajui Jabatan ini, saya memahami bahawa menjadi warga Jabatan Imigresen Malaysia bukanlah satu tugas yang mudah.

33. Apabila berlaku kebocoran sempadan, nama Jabatan Imigresen yang disebut. Apabila berlaku penyalahgunaan kemudahan imigresen, rakyat mempersoalkan Imigresen. Apabila berlaku isu pendatang tanpa izin, pemerdagangan orang atau jenayah rentas sempadan, mata masyarakat sekali lagi tertumpu kepada Jabatan Imigresen.

34. Namun, apa yang jarang dilihat ialah ribuan pegawai dan anggota yang bertugas tanpa mengira siang atau malam, di lapangan terbang, pelabuhan, pintu masuk darat, depot tahanan dan pos kawalan sempadan demi memastikan Malaysia terus aman, selamat dan berdaulat.

35. Kita perlu terus membina semula keyakinan dan memperkukuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi ini. Kerana dalam dunia hari ini, kepercayaan ialah aset paling berharga bagi sesebuah institusi.

36. Sebab itu saya tidak mahu masyarakat hanya mengenali Jabatan Imigresen apabila berlaku krisis. Saya mahu masyarakat mengenali Jabatan Imigresen kerana mereka yakin negara ini selamat di tangan saudara dan saudari.

37. Saya mahu apabila rakyat menyebut Jabatan Imigresen Malaysia, perkara pertama yang terlintas di fikiran mereka bukan lagi kontroversi, tetapi kecekapan sebuah institusi strategik yang menjadi benteng pertama kedaulatan negara dan pintu hadapan kepada kemajuan Malaysia.

38. Justeru, sebagai benteng pertama yang mempertahankan kedaulatan negara, pikullah amanah ini dengan penuh keberanian dan kebijaksanaan Berkhidmatlah bukan kerana ada yang memerhati, tetapi setiap tindakan kita adalah amanah besar kepada negara. Kerana masa depan sesebuah institusi bukan ditentukan oleh cabaran yang dihadapinya, tetapi oleh keberanian warganya untuk mengatasinya.

PENUTUP

39. Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan yang telah saudara dan saudari curahkan kepada negara. Saya percaya, yang terbaik untuk Jabatan Imigresen Malaysia masih belum tercipta. Marilah kita melangkah ke hadapan dengan tekad untuk membina sebuah Jabatan Imigresen yang bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, tetapi juga penanda aras kepada dunia.

40. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan penuh sukacita merasmikan Sambutan Hari Imigresen Ke-104 dengan tema “Melakar Wajah Baharu Imigresen.”

Sekian.

Wabillahi taufik wal hidayah.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.