MUKADIMAH
1. Setiap hari, kita membaca laporan mengenai rakyat yang menjadi mangsa penipuan dalam talian, kehilangan wang simpanan hidup akibat scam, menjadi mangsa kecurian identiti atau berhadapan pelbagai bentuk ancaman digital yang semakin kompleks.

2. Pada tahun 2025 sahaja, sebanyak 66,204 kes penipuan dalam talian direkodkan di negara ini dengan kerugian hampir RM3 bilion. Di sebalik setiap angka tersebut terdapat rakyat yang kehilangan wang simpanan, peniaga yang mengalami kerugian serta keluarga yang menjadi mangsa jenayah digital yang semakin canggih dan sukar dikesan.

3. Apa yang lebih membimbangkan, ancaman ini tidak lagi
terhad kepada individu semata-mata. Ia turut menyasarkan perniagaan, institusi kewangan, organisasi awam malah infrastruktur strategik negara. Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi digital, satu serangan siber mampu memberi kesan yang jauh lebih besar daripada kerugian kewangan semata-mata.

4. Justeru, usaha memperkukuh keselamatan siber negara tidak boleh lagi dilihat sebagai isu teknikal atau isu yang hanya melibatkan pakar teknologi. Ia merupakan isu keselamatan negara, perlindungan rakyat dan masa depan ekonomi digital Malaysia.

5. Atas sebab itulah kerajaan membawakan Rang Undang Undang Jenayah Siber 2026. RUU ini bukan sekadar menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997, tetapi merupakan satu langkah penting untuk memastikan kerangka perundangan negara kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta berupaya menangani ancaman siber yang semakin kompleks.

LANDSKAP ANCAMAN SIBER YANG SEMAKIN MENCABAR

Yang Berhormat sekalian,

6. Perkembangan teknologi digital telah membawa pelbagai manfaat kepada rakyat dan negara. Namun dalam masa yang sama, ia turut membuka ruang kepada pelbagai bentuk ancaman baharu yang semakin sukar dikesan dan dibendung.

7. Hari ini, jenayah siber bukan lagi hanya melibatkan pencerobohan sistem komputer atau kecurian data. Kita turut berdepan ancaman penipuan dalam talian, kecurian identiti, serangan ransomware, eksploitasi digital serta penyalahgunaan Artificial Intelligence (AI) untuk tujuan jenayah.

8. Lebih membimbangkan, kebanyakan ancaman ini bersifat rentas sempadan. Pelakunya mungkin berada di luar negara, menggunakan teknologi yang sentiasa berkembang dan bergerak lebih pantas daripada keupayaan kerangka perundangan sedia ada.

9. Dalam banyak keadaan, ancaman siber bukan sahaja menjejaskan individu, malah boleh mengganggu operasi organisasi, menjejaskan keyakinan pengguna serta memberi kesan kepada kestabilan ekonomi negara. Sebab itu, isu keselamatan siber tidak lagi boleh dilihat sebagai isu teknologi semata-mata. Ia merupakan cabaran keselamatan yang memerlukan perhatian dan tindakan yang lebih menyeluruh.

RUU JENAYAH SIBER 2026: MEMPERKUKUH KERANGKA PERUNDANGAN NEGARA DALAM ERA DIGITAL

Yang Berhormat sekalian,

10. Kerajaan menyedari bahawa cabaran baharu memerlukan penyelesaian yang baharu. Akta Jenayah Komputer 1997 telah memainkan peranan penting dalam menangani jenayah berkaitan komputer sejak sekian lama. Namun, landskap digital yang kita hadapi hari ini jauh berbeza berbanding ketika akta tersebut mula diperkenalkan hampir tiga puluh tahun yang lalu.

11. Kemunculan teknologi baharu, peningkatan aktiviti digital serta perubahan corak jenayah siber memerlukan satu kerangka perundangan yang lebih menyeluruh, relevan dan responsif terhadap cabaran semasa.

12. Justeru, Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 digubal bagi memperkukuh keupayaan negara untuk mencegah, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pelbagai bentuk jenayah siber yang semakin canggih dan kompleks.

13. RUU ini mengandungi 8 Bahagian dan 61 Fasal yang dirangka untuk memperkukuh keupayaan negara dalam menangani ancaman keselamatan siber secara lebih menyeluruh. Ia turut memperuntukkan kuasa kawal selia dan penguatkuasaan berkaitan jenayah siber bagi memastikan tindakan yang lebih berkesan dapat diambil terhadap pelbagai bentuk ancaman yang wujud pada hari ini.

14. Apa yang penting, penggubalan RUU ini dilaksanakan secara teliti dan inklusif melalui pelbagai sesi libat urus melibatkan kementerian, jabatan, agensi penguat kuasa, pemain industri, ahli akademik, Badan Peguam Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan serta pelbagai pihak berkepentingan.

15. Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap peruntukan yang dicadangkan adalah seimbang, praktikal dan mengambil kira kepentingan keselamatan negara, hak rakyat serta keperluan pembangunan ekonomi digital negara.

16. Pada masa yang sama, RUU ini juga akan membantu Malaysia memenuhi obligasi antarabangsa di bawah Council of Europe Convention on Cybercrime (Konvensyen Budapest) dan United Nations Convention Against Cybercrime (Konvensyen UN). Penyelarasan ini penting kerana ancaman siber semakin bersifat rentas sempadan dan memerlukan kerjasama erat antara negara dalam usaha membanteras jenayah siber.

MEMBINA EKOSISTEM DIGITAL YANG SELAMAT DAN DIYAKINI

Yang Berhormat sekalian,

17. Keselamatan siber hari ini merupakan antara prasyarat utama kepada kemajuan ekonomi digital sesebuah negara. Hakikatnya, negara-negara maju seperti Singapura, dan Korea Selatan telah lama mengiktiraf keselamatan siber sebagai komponen penting dalam keselamatan nasional dan pembangunan ekonomi digital mereka.

18. Malaysia juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan ini bagi memastikan negara terus kekal berdaya saing, diyakini pelabur serta mampu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh ekonomi digital.

19. Keupayaan kita melindungi data, sistem, rangkaian dan infrastruktur maklumat kritikal negara akan menentukan tahap keyakinan rakyat, pelabur dan komuniti perniagaan terhadap ekosistem digital Malaysia.

20. Sekiranya ruang siber negara tidak selamat, keyakinan terhadap urusan digital akan terhakis. Pelaburan boleh terjejas, inovasi boleh terbantut dan usaha negara untuk mempercepat transformasi digital akan berhadapan cabaran yang lebih besar.

21. Sebab itulah Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Ia bukan semata-mata berkaitan penguatkuasaan undang-undang, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha membina sebuah ekosistem digital yang selamat, diyakini dan berdaya tahan.

22. Melalui kerangka perundangan yang lebih kukuh, kita bukan sahaja dapat melindungi rakyat daripada ancaman siber, malah mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pertumbuhan ekonomi digital, menggalakkan inovasi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.

PENUTUP

23. Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi digital, keupayaan sesebuah negara melindungi ruang sibernya akan menjadi antara ukuran utama kepada kekuatan institusi, daya tahan ekonomi dan keyakinan rakyat.

24. Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 yang kita usulkan ini merupakan satu langkah penting memastikan negara sentiasa selangkah kehadapan dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks.

25. Justeru, saya berharap semua Ahli Parlimen dapat menilai RUU ini berdasarkan fakta, keperluan semasa dan kepentingan jangka panjang negara demi memastikan Malaysia mempunyai kerangka perundangan yang mampu melindungi rakyat serta memperkukuh keselamatan siber negara dalam era digital.

Sekian, terima kasih.