MUKADIMAH

  1. Dunia hari ini sedang berubah dengan pantas. Pekerjaan tradisional mula berubah bentuk, manakala peluang baharu muncul dalam bidang semikonduktor, kenderaan elektrik, teknologi hijau, automasi pintar, aeroangkasa, ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui.
  2. Pada tahun 2025 sahaja, Malaysia mencatatkan nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM426.7 bilion, melibatkan lebih 8,000 projek dan hampir 245,000 potensi peluang pekerjaan baharu. Ini membuktikan bahawa ekonomi negara sedang bergerak, industri sedang berkembang dan peluang pekerjaan masa depan sedang terbuka luas.
  3. Namun persoalan besarnya ialah: adakah anak-anak kita bersedia untuk merebut peluang ini? Adakah kita mempunyai tenaga mahir tempatan yang mencukupi untuk mengisi industri-industri baharu ini?
  4. Sebab itu, agenda TVET mesti diangkat sebagai laluan utama untuk membina masa depan anak muda dan memperkukuh ekonomi negara. Tetapi asas kita mesti kukuh.
  5. Bangunan boleh dibina, teknologi boleh dibeli dan pelaburan boleh dibawa masuk. Tetapi kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada keupayaannya melahirkan rakyat yang berilmu, berkemahiran dan berani menguasai masa depan.
  6. Maka,pelancaran Kelab Kemahiran AIM TVET hari ini adalah langkah penting untuk membina budaya baharu dalam kalangan anak muda atau rasa sense of belonging – bahawa kemahiran adalah kekuatan, dan TVET adalah jambatan menuju masa depan yang lebih bermaruah.

    PERAK SEBAGAI KORIDOR TVET NEGARA

    Hadirin sekalian,

  7. Kita mesti menerima hakikat bahawa kekuatan sesebuah negeri tidak lagi boleh diukur hanya pada sumber asli, keluasan tanah atau projek pembangunan fizikal. Kekuatan sebenar hari ini terletak pada keupayaan negeri melahirkan tenaga mahir yang mampu menguasai teknologi, memenuhi kehendak industri dan mencipta nilai baharu kepada ekonomi.
  8. Dalam konteks ini, saya melihat Perak mempunyai potensi yang sangat besar. Kedudukannya yang strategik, perkembangan industri di Tanjung Malim, serta agenda Automotive High-Tech Valley menjadikan Perak bukan sekadar negeri yang menerima pembangunan, tetapi negeri yang boleh melahirkan bakat untuk memacu pembangunan tersebut.
  9. Sebab itu, usaha memperkukuh TVET di Perak tidak boleh dilihat sebagai agenda pendidikan semata-mata. Ia adalah agenda ekonomi, agenda pekerjaan dan agenda masa depan anak muda Perak.
  10. Kita mahu anak-anak muda menjadi pemain utama; sebagai juruteknik, teknologis, pakar automasi, usahawan teknologi dan tenaga mahir yang menggerakkan ekonomi masa depan negara.
  11. Jika usaha ini digerakkan dengan tersusun, saya yakin Perak mampu muncul sebagai salah satu koridor penting TVET negara – tempat di mana bakat muda dibentuk, industri diperkukuh dan masa depan ekonomi negeri dibina melalui kemahiran.

    TVET SEBAGAI JALAN MOBILITI SOSIAL DAN MASA DEPAN ANAK MUDA

    Hadirin sekalian,

  12. Kita mesti jujur mengakui bahawa cabaran terbesar anak muda hari ini bukan sekadar mendapatkan pendidikan, tetapi mendapatkan masa depan yang benar-benar menjamin kehidupan mereka. Kos sara hidup meningkat, persaingan pekerjaan semakin sengit, dan perubahan teknologi berlaku terlalu pantas.
  13. Sebab itu, saya mahu TVET adalah jalan mobiliti sosial rakyat. Ia membuka ruang kepada anak muda, termasuk anak-anak luar bandar dan B40, untuk mengubah kehidupan melalui kemahiran, kepakaran dan pekerjaan yang lebih baik.
  14. Hari ini, industri baharu seperti kenderaan elektrik, teknologi bateri, tenaga boleh diperbaharui, automasi pintar, semikonduktor dan ekonomi digital sedang berkembang pesat. Semua sektor ini memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja memiliki sijil, tetapi benar-benar mempunyai kemahiran yang relevan dengan kehendak industri.
  15. Justeru, TVET mesti diangkat sebagai pilihan strategik
    untuk anak muda yang mahu cepat menguasai kemahiran, cepat memasuki pasaran kerja dan cepat membina kehidupan yang lebih baik.
  16. Sebab itu, pemadanan antara institusi TVET dengan syarikat dan industri mesti diperkukuh secara lebih tersusun. Anak muda yang memasuki aliran ini mesti melihat satu laluan yang jelas; latihan yang membawa kepada pekerjaan, kemahiran yang membawa kepada pendapatan, dan peluang yang membawa kepada masa depan yang lebih bermaruah.
  17. Dengan pendekatan ini, TVET bukan sahaja mengubah nasib seorang anak muda, tetapi turut mengangkat keluarganya, menggerakkan ekonomi negeri dan memperkukuh masa depan negara.

    AIM TVET: MEMBINA BAKAT MASA DEPAN SEJAK DI BANGKU SEKOLAH

    Hadirin sekalian,

  18. Namun, kita juga perlu sedar bahawa bakat tidak lahir secara kebetulan. Tenaga mahir tidak terbentuk dalam sehari. Seorang teknologis, pakar automasi, jurutera, pereka sistem atau usahawan teknologi memerlukan pendedahan, bimbingan dan latihan yang berterusan sejak usia muda.
  19. Sebab itu, saya melihat Kelab Kemahiran AIM TVET ini amat penting. Ia membuka ruang kepada anak-anak muda untuk mengenali dunia kemahiran dengan lebih awal, bukan hanya apabila mereka selesai persekolahan, tetapi ketika minat, potensi dan keyakinan mereka sedang dibentuk.
  20. Kalau dahulu ibu bapa sering bertanya universiti mana menjadi pilihan anak-anak, hari ini dunia sedang bertanya kemahiran apa yang dimiliki oleh anak-anak kita untuk membolehkan mereka bersaing dalam ekonomi masa depan.
  21. Justeru, saya mahu Kelab Kemahiran AIM TVET menjadi jambatan yang menghubungkan sekolah, institusi latihan dan industri. Anak-anak muda perlu didedahkan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman, projek sebenar, simulasi industri, teknologi semasa serta pemikiran global yang selari dengan keperluan dunia pekerjaan.
  22. Dengan pendekatan ini, kita bukan sekadar melahirkan pelajar yang tahu tentang TVET, tetapi generasi muda yang yakin memilih TVET sebagai laluan masa depan. Inilah langkah awal untuk membina pencipta, inovator dan tenaga mahir tempatan yang akan memacu ekonomi negeri dan negara.
  23. Untuk itu, saya ingin menggariskan tiga langkah penting bagi memperkasa anak-anak muda Perak melalui agenda AIM TVET ini :
    i. Pertama, kita mesti memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman. Anak-anak muda tidak boleh hanya mendengar tentang teknologi, tetapi mesti menyentuh, mencuba dan memahami bagaimana teknologi itu berfungsi. Mereka perlu didedahkan kepada projek sebenar, simulasi industri dan aktiviti hands-on yang membina minat serta keyakinan.
    ii. Kedua, kita mesti membina pemikiran global dalam kalangan anak muda. Hari ini, anak Perak bukan lagi bersaing hanya dalam daerah atau negeri sendiri. Mereka sedang bersaing dengan bakat dari seluruh dunia. Sebab itu, mereka mesti didedahkan kepada standard industri antarabangsa, komunikasi digital, teknologi semasa dan cara berfikir yang lebih terbuka terhadap masa depan.
    iii. Ketiga, Kelab Kemahiran AIM TVET mesti menjadi jambatan kepada industri sebenar. Setiap bakat yang dikenal pasti perlu dibimbing secara berterusan, dipadankan dengan laluan latihan yang sesuai dan dibuka ruang untuk berhubung dengan institusi TVET, syarikat serta peluang pekerjaan masa depan.
  24. Jika tiga langkah ini dilaksanakan secara tersusun, InyaAllah, saya yakin AIM TVET bukan sekadar menjadi kelab di sekolah, tetapi menjadi tapak awal kepada lahirnya pencipta, inovator dan tenaga mahir masa depan negara.

    PENUTUP

    Hadirin sekalian,

  25. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, atas komitmen dan kesungguhan beliau dalam memperkukuh agenda TVET di negeri ini.
  26. Saya juga mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan pelaksanaan Kelab Kemahiran AIM TVET. Usaha seperti ini membuktikan bahawa apabila kerajaan negeri, sekolah, institusi latihan dan industri bergerak bersama, kita mampu membina laluan masa depan yang lebih jelas untuk anak-anak muda.
  27. Namun, pelancaran hari ini tidak boleh terhenti sebagai satu majlis semata-mata. Ia mesti menjadi permulaan kepada gerakan yang lebih besar untuk mencungkil bakat, membina kemahiran dan menghubungkan anak anak muda Perak dengan peluang industri sebenar.
  28. Saya percaya, masa depan Perak tidak hanya akan dibina melalui jalan raya, bangunan dan kawasan perindustrian. Masa depan Perak akan dibina oleh anak-anak mudanya; dengan ilmu di fikiran, kemahiran di tangan dan keberanian di jiwa untuk menguasai perubahan.
  29. Maka, marilah kita jadikan TVET sebagai jambatan harapan. Dari sekolah ke industri. Dari kemahiran ke pekerjaan. Dari impian anak muda kepada masa depan negeri dan negara yang lebih bermaruah.
  30. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan
    sukacitanya merasmikan Kelab Kemahiran AIM TVET Negeri Perak.

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.