MUKADIMAH
- Izinkan saya memulakan bicara dengan satu peringatan besar daripada Rasulullah SAW. Baginda pernah menggambarkan bahawa akan datang satu zaman, ketika umat Islam jumlahnya ramai, tetapi keadaannya seperti buih di lautan – kelihatan banyak, tetapi rapuh dipukul ombak; kelihatan besar, tetapi mudah dihempas badai.
- Apabila para sahabat bertanya, apakah puncanya ya Rasulullah? Baginda menyebut tentang penyakit al Wahn iaitu cinta kepada dunia dan takut menghadapi pengorbanan.
- Hadis ini bukan sekadar kisah tentang akhir zaman. Ia adalah cermin untuk kita menilai diri. Sesuatu bangsa tidak diukur hanya pada bilangannya. Sesuatu bangsa juga tidak dimuliakan hanya kerana sejarahnya tetapi sesuatu bangsa menjadi besar apabila ia memiliki jiwa, ilmu, kekuatan ekonomi, keyakinan budaya dan keberanian untuk memperbaiki dirinya sendiri.
- Hakikatnya, inilah keresahan yang sedang kita rasai hari ini.
Kita ramai pada bilangan, tetapi semakin lompong terhadap penguasaan dan pemilikan.
Kita gemilang pada sejarah, tetapi semakin resah melakar masa depan.
Kita megah dengan warisan, tetapi semakin khuatir mendepani zaman. - Sebab itu kita berhimpun pada hari ini bukan untuk menyemarakkan ketakutan.. bukan untuk mencetuskan perbalahan dan bukan untuk menuding jari mencari kesalahan. Kita berhimpun atas satu kesedaran bahawa keresahan bangsa tidak boleh dibiarkan menjadi keluhan dan perlu digerakkan dalam satu bentuk tindakan.
- Inilah tujuan Musyawarah Nasional yang saya hasratkan.
Bukan sekadar untuk berbicara tentang masalah bangsa, tetapi untuk menyusun semula kekuatannya.
Bukan sekadar mengulang keresahan, tetapi merumuskan penyelesaian dipandu oleh akal, adab dan akhlak.
Bukan sekadar untuk bertanya apa yang telah hilang, tetapi untuk menentukan apa yang mesti kita bangunkan semula. - Keresahan ini tidak boleh dibiarkan berlegar di media sosial, menjadi perbualan di warung kopi atau terus tersimpan dalam ruang tertutup. Sebab itu, Musyawarah Nasional kita wujudkan ini mesti menjadi medan untuk mendalami realiti sebenar rakyat, menyuntik kefahaman berasaskan fakta, memisahkan antara persepsi dan realiti, mengenal pasti punca masalah serta menyelaraskan tindakan yang lebih berkesan, kerana percayalah dalam kita bermusyawarah…
- Ada keresahan rakyat yang tidak boleh kita pandang ringan;
Ada kegelisahan anak muda yang mencari ruang pekerjaan;
Ada kebimbangan ibu bapa yang memikirkan kelangsungan kehidupan;
Ada keperitan usahawan kecil yang bertarung mempertahankan perniagaan;
Ada persoalan besar tentang hala tuju bangsa ini.MUSYAWARAH NASIONAL SEBAGAI MAKMAL BANGSA DAN IJTIHAD ZAMAN
Sidang hadirin sekalian,
- Tahun-tahun antara 2018 hingga 2026 bukan sekadar deretan masa. Ia adalah fasa peralihan besar yang menguji daya tahan bangsa. Daripada perubahan politik, tekanan ekonomi pasca Covid-19, ketidaktentuan geopolitik, konflik dunia, serta ledakan teknologi, kecerdasan buatan dan automasi… semua ini bukan sahaja mengubah ekonomi dan pekerjaan, tetapi turut mengubah cara manusia berfikir, berinteraksi dan membina masa depan.
- Dalam suasana inilah keresahan Melayu terbentuk. Ia tidak muncul secara tiba-tiba, tetapi terkumpul sedikit demi sedikit melalui tekanan yang berpanjangan. Hari ini, keresahan itu bukan lagi sekadar persepsi. Ia menyentuh emosi, maruah, keyakinan dan persoalan besar tentang kedudukan bangsa kita di atas tanah air sendiri.
- Namun, apabila kita berbicara tentang keresahan Melayu, jangan sesekali ia disalahertikan sebagai penolakan terhadap perpaduan. Ini bukan soal perkauman. Ini soal tanggungjawab terhadap bangsa teras yang menjadi salah satu tunjang kestabilan, keharmonian dan kemakmuran negara.
- Keresahan ini tidak boleh dibakar menjadi kebencian. Ia tidak boleh dimanipulasi menjadi modal politik sempit. Ia juga tidak boleh dijadikan alasan untuk meruntuhkan keharmonian. Sebaliknya, keresahan ini mesti diurus dengan ilmu, dipandu dengan hikmah dan digerakkan dengan keberanian supaya resah tidak menjadi marah, tetapi berubah menjadi arah.
- Sebab itu, saya mahu Musyawarah Nasional ini menjadi Makmal Pemikir Bangsa. Sebuah ruang untuk kita membedah keresahan, menguji fakta, memisahkan persepsi daripada realiti, dan merumuskan tindakan. Di makmal ini, kita tidak datang sekadar membawa keluhan. Kita datang membawa akal, data, pengalaman dan keberanian untuk mencari penawar kepada penyakit bangsa.
- Pada masa yang sama, Musyawarah Nasional ini mesti menjadi Ijtihad Zaman. Cabaran hari ini tidak sama dengan cabaran dahulu. Ekonomi berubah. Teknologi berubah. Politik berubah. Cara fikir rakyat pun berubah. Maka bangsa ini tidak boleh terus menjawab masalah baharu dengan pendekatan lama. Kita perlu berijtihad bukan untuk meninggalkan prinsip, tetapi untuk menyesuaikan strategi agar prinsip terus hidup dalam peredaran zaman.
MEMBEDAH KERESAHAN ORANG MELAYU
Sidang hadirin sekalian,
Pertama: Memelihara Agama dan Institusi Raja-Raja Melayu
- Keresahan orang Melayu hari ini semakin mendalam apabila kesucian Islam dan kewibawaan institusi Raja Raja Melayu berulang kali disentuh secara terbuka. Daripada isu ICERD, penghinaan terhadap kalimah Allah, jenaka “ham and cheese” yang meremehkan halal, isu Allahyarham Muhammad Adib, bantahan terhadap laungan azan, hinggalah kepada perkara perkara yang menyentuh sensitiviti umat Islam semuanya mengguris hati dan menimbulkan persoalan besar tentang nilai hormat terhadap asas negara.
- Lebih membimbangkan apabila muncul tindakan biadab menghina institusi Raja-Raja Melayu, termasuk menyamakan wajah Sultan Selangor dengan imej haiwan. Ini bukan sekadar gurauan melampau, tetapi penghinaan terbuka terhadap institusi Raja-Raja Melayu sebagai payung kedaulatan negara. Perbuatan sebegini jelas melampaui batas adab, budaya dan prinsip hormat yang menjadi asas keharmonian masyarakat.
- Islam ialah agama Persekutuan. Raja-Raja Melayu ialah payung kedaulatan. Maka apabila dua tiang seri ini diganggu, keresahan rakyat tidak boleh dianggap kecil. Ia mesti ditangani dengan tegas, adil dan berhikmah agar maruah agama, institusi negara dan keharmonian nasional dapat terus terpelihara.
- Sebab itu, sudah sampai masanya,kita menilai semula kerangka perundangan sedia ada agar dapat diperkukuh sesuai dengan cabaran zaman. Kebebasan bersuara mesti terus dihormati, tetapi kebebasan tidak boleh menjadi lesen untuk menghina agama, memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu, atau merosakkan asas keharmonian negara.
Kedua, Medan Ekonomi Dan Pemilikan
- Keresahan ekonomi Melayu hari ini berpunca daripada satu hakikat besar – Ya.. kita ramai sebagai pengguna, tapi belum cukup kuat sebagai pemilik. Ya.. kita ramai sebagai pekerja, tapi belum cukup menguasai rantaian nilai. Kos hidup meningkat, rumah semakin sukar dimiliki, usahawan Melayu masih kecil skalanya, ekuiti Bumiputera masih jauh daripada sasaran, dan Melayu bandar semakin terhimpit oleh gentrifikasi.
-
Cabaran ini bukan lagi sekadar soal bantuan atau subsidi. Ini soal pemilikan aset, penguasaan pasaran, rantaian bekalan dan akses kepada ekonomi masa depan. Oleh sebab itu, PuTERA35 mesti menjadi panduan besar. Matlamatnya mesti jelas: bukan sekadar menyertai ekonomi, tetapi memiliki ekonomi; bukan sekadar berniaga, tetapi membina industri; bukan sekadar merebut peluang, tetapi menguasai rantaian nilai. Inilah acuan Ekonomi Melayu yang harus kita dambakan.
Ketiga, Medan Pendidikan Dan Bakat Masa Depan.
- Dahulu, pendidikan ialah tangga besar mobiliti sosial orang Melayu. Dengan pendidikan, anak desa menjadi profesional, anak petani menjadi pentadbir, anak nelayan menjadi pemimpin. Namun, hari ini, keresahan mula timbul apabila pendidikan yang dahulu menjadi jalan mengubah nasib keluarga, semakin dilihat tidak lagi menjamin pekerjaan, kestabilan hidup dan masa depan generasi muda.
- Realitinya, sekitar 35.8 peratus atau 1.96 juta graduan lepasan pendidikan tinggi bekerja dalam bidangsepara mahir atau pekerjaan berkemahiran rendah yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka. Ini menunjukkan bahawa isu pendidikan bukan lagi sekadar akses kepada universiti, tetapi kesepadanan antara ilmu, kemahiran dan keperluan industri.
- Kita juga resah apabila Sekolah Kebangsaan semakin lemah sebagai ruang pembinaan negara bangsa dan isu UEC terus membelenggu perdebatan pendidikan negara. Namun di sebalik kegelisahan ini, TVET mesti tampil sebagai laluan baharu mobiliti sosial Melayu – bukan pilihan kedua, tetapi jalan utama melahirkan tenaga mahir, teknologis, usahawan dan pencipta nilai baharu negara.
- Sebab itu, pendidikan masa depan tidak boleh sekadar melahirkan kelulusan. Ia mesti melahirkan keupayaan. Anak muda Melayu mesti dibina dengan ilmu, kemahiran, daya cipta dan keyakinan untuk berdiri dalam ekonomi baharu.
Keempat: Medan Sosial, Budaya, Bahasa dan Perpaduan Nasional
- Kita resah apabila Bahasa Melayu semakin dipinggirkan, budaya hanya tinggal pada pentas tetapi semakin hilang dalam jiwa, dan generasi muda semakin jauh daripada akar bangsanya. Globalisasi, teknologi digital dan budaya luar sedang membentuk cara fikir anak muda – sedangkan adab, warisan dan nilai tempatan semakin longgar dalam mengisi kehidupan seharian.
- Keresahan ini juga terlihat apabila isu bahasa, identiti dan warisan negara sering mencetuskan kegelisahan daripada polemik makanan warisan, naratif promosi negara yang kurang menonjolkan akar Melayu Islam, hinggalah kepada penganjuran festival yang tidak cukup peka terhadap nilai masyarakat setempat.
- Dalam masa yang sama, perpaduan nasional semakin teruji apabila media sosial menjadi ruang sindiran dan prasangka antara kaum. Istilah seperti “Type M”, “Type C” dan “Type I” mungkin bermula sebagai gurauan, tetapi akhirnya menjadi bahasa kemarahan tersirat.
- Keresahan ini bukan kebencian kepada kaum lain. Ia adalah kebimbangan bahawa sensitiviti agama, budaya, bahasa dan sosial masyarakat Melayu-Islam semakin dipandang ringan. Perpaduan tidak runtuh sekaligus; ia terhakis apabila asas yang menyatukan rakyat mula diremehkan.
- Sebab itu, sudah tiba masanya kerangka perundangan dan garis panduan perpaduan nasional diperkukuh bagi memastikan setiap dasar, program dan penganjuran awam menghormati sensitiviti agama, budaya dan bahasa. Bahasa Melayu mesti dikuatkuasakan, literasi budaya mesti diperkukuh, dan perpaduan mesti dipelihara bukan dengan slogan semata-mata, tetapi dengan dasar, adab dan undang undang.
Kelima: Medan Politik dan Kestabilan Kuasa Melayu
- Di luar sana, semakin ramai merasakan politik orang Melayu hari ini tidak sekuat dahulu. Suara kita melemah dek kerana perpecahan. Pertimbangan kita tenggelam dek sentimen yang tidak terkawal. Strategi kita sering dikalahkan oleh emosi. Natijahnya, suara bangsa akan melemah sehingga kegusaran kita tidak lagi diendah dan dipandang sepi.
- Politik orang Melayu yang terus dibelenggu dendam, prasangka dan perebutan yang tidak berkesudahan hanya akan mengecilkan kedudukan kita dalam gelanggang sendiri. Melayu tidak boleh terus menang sorak, tetapi kampung tergadai. Politik orang Melayu mesti kembali kepada akal, adab dan strategi bukan sekadar untuk menang pilihan raya, tetapi untuk memastikan bangsa ini terus mempunyai kuasa menentukan masa depannya.
- Sebab itu, politik Melayu mesti kembali kepada tujuan asalnya dalam menyatukan kekuatan, melindungi kepentingan bangsa, memelihara Islam, mempertahankan institusi negara serta memastikan Malaysia terus stabil dan saksama. Politik bukan sekadar soal menang kuasa; politik ialah amanah untuk menentukan masa depan bangsa.
PENUTUP
Saudara dan saudari yang saya hormati,
- Sebentar lagi, lima Pengerusi Teras akan membedah keresahan bangsa ini dengan lebih mendalam. Saya mahu setiap pembentangan berpegang kepada roh musyawarah yang berani menyebut realiti, jujur mencari punca, dan tegas menawarkan penyelesaian.
- Dalam tradisi Islam, musyawarah bukan sekadar proses berbincang. Musyawarah ialah adab membuat Keputusan (Adabul Ikhtilaf), disiplin mencari kebenaran, dan pengakuan bahawa persoalan besar umat tidak boleh diselesaikan dengan emosi seorang, tetapi dengan kebijaksanaan jemaah.
- Rakyat sudah lama tahu masalah. Maka Musyawarah Nasional tidak boleh sekadar menjadi ruang mengulang keresahan. Ia mesti menjadi medan menyusun penyelesaian, membina keyakinan dan menggerakkan kekuatan di bawah satu Suara Bangsa.
- Jadikan detik hari ini permulaan untuk menghimpunkan kekuatan terbaik bangsa bagi menyusun semula keyakinan, kekuatan dan hala tuju bangsa. Kerana akhirnya, bangsa yang disegani bukan bangsa yang paling kuat mengeluh, tetapi bangsa yang paling berani berubah bagi menentukan masa depannya sendiri.
- Mudah-mudahan Allah SWT memberkati ikhtiar ini, menyatukan hati kita, dan membimbing langkah kita untuk terus membela agama, bangsa dan negara.
- Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Musyawarah Nasional buat julung kalinya.
Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
