Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Perpaduan.
MUKADIMAH
1.Saya mengucapkan syabas kepada PERMATA Al-Quran kerana istiqamah menganjurkan majlis Konvokesyen Huffaz Nusantara untuk kali ke-10. Apatah lagi majlis ini turut menghimpunkan panji-panji Huffaz Nusantara sebagai lambang kebersamaan serantau yang merentasi sempadan negara serta menyatukan rumpun kita di atas satu akidah dan kecintaan yang mendalam terhadap alQuran.
2. Dalam kita meraikan para graduan yang telah menghafaz 30 juzuk. Tentunya di sebalik kejayaan itu ada doa ibu bapa, kesabaran guru, disiplin murabbi dan pengorbanan yang panjang. Sebab itu saya melihat kejayaan seorang hafiz bukan pada sejauh mana ayat dihafaz di bibir, tetapi sejauh mana al-Quran membentuk akhlak, keputusan dan cara hidupnya.
3. Tambahan pula, dunia hari ini jauh berbeza berbanding dahulu. Hari ini kita boleh memprogramkan gajet dan kecerdasan buatan untuk menyimpan data, mencari jawapan dan menyelesaikan masalah. Tetapi sehebat mana pun teknologi, ia tetap tidak mempunyai rasa, ihsan dan nurani.
4. Di sinilah keistimewaan anak-anak tahfiz kita. Mereka bukan hanya melatih daya ingatan, tetapi membawa bersama cahaya dan jiwa al-Quran yang tidak mampu ditiru oleh mana-mana mesin atau teknologi yang wujud hari ini .
5. Namun kita masih terikat dengan satu persoalan besar:
Selepas 30 juzuk, ke mana kita mahu membawa anakanak ini?
Adakah perjalanan mereka berhenti di sini, atau kita mahu melihat mereka melangkah ke universiti, TVET, industri, bidang profesional dan akhirnya ke barisan kepimpinan negara?
6. Sebab itu kita perlu melihat 30 juzuk yang dihafal bukanlah garis penamat kepada perjalanan seorang hafiz, tetapi titik mula kepada amanah yang lebih besar. Paling penting, tanggungjawab kita selepas ini ialah memastikan anak-anak ini tidak hanya hebat menghafaz al-Quran, tetapi mempunyai ruang untuk membawa nilai al-Quran itu sejauh mungkin dalam kehidupan, kerjaya dan kepimpinan.
30 JUZUK BUKAN GARIS PENAMAT
Hadirin sekalian,
7. Di dalam sebuah hadis Riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda:
ُMaksudnya: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”
8. Hadis ini mengingatkan kita bahawa hubungan dengan alQuran tidak berhenti pada hafazan. Hafazan mesti melahirkan kefahaman, kefahaman mesti membentuk penghayatan, dan penghayatan akhirnya mesti diterjemahkan kepada akhlak serta khidmat kepada manusia.
9. Sebab itu kita telah memperkemas Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, membangunkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia dan memperkukuh pengiktirafan melalui Sijil Tahfiz Malaysia. Semua ini bukan soal menambah sijil atau dasar di atas kertas. Pada saya, yang lebih penting ialah memastikan seorang anak tahfiz mempunyai laluan yang jelas untuk menyambung pendidikan, membina kerjaya dan mengembangkan potensinya setinggi mungkin.
10. Saya tidak mahu seorang anak menghabiskan bertahuntahun menghafaz al-Quran, tetapi apabila dia melangkah keluar daripada institusi tahfiz, sistem kita sendiri mengecilkan pilihannya.
11. Kita juga tidak boleh mengukur kejayaan hanya pada berapa cepat seseorang khatam atau berapa banyak juzuk yang mampu dihafaz. Kita mesti melihat kekuatan murajaahnya, kefahamannya, adabnya, kesejahteraan emosinya dan manusia bagaimana yang sedang kita bentuk.
12. Prinsip saya mudah. Anak tahfiz tidak perlu memilih antara agama dengan cita-cita. Mereka mesti diberi ruang untuk mendalami agama sambil menguasai ilmu, kemahiran dan profesion. Pendidikan tahfiz perlu berdiri dalam arus perdana pembangunan modal insan negara supaya potensi mereka tidak terhenti di pintu institusi tahfiz, sebaliknya terus berkembang hingga ke universiti, TVET, industri dan bidang profesional.
JANGAN SEMPITKAN MASA DEPAN SEORANG HAFIZ
13. Kita juga perlu sedari bahawa Islam tidak pernah memisahkan kecemerlangan dunia dan akhirat. Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Qasas ayat 77
Maksudnya: “Dan carikanlah pada apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu kebahagiaan negeri akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu keperluan dan kejayaan di dunia.”
14. Ayat ingin menganjurkan supaya kita mencari kebahagiaan akhirat tanpa melupakan bahagian kita di dunia. Maka generasi huffaz mesti dibentuk dengan keseimbangan itu.
15. Dunia mereka hari ini adalah dunia AI, ekonomi digital, sains moden dan teknologi tinggi. Sebab itu saya mahu anak-anak tahfiz juga berada dalam bidang TVET, kejuruteraan, perubatan, teknologi, keusahawanan dan penyelidikan. Al-Quran tidak harus menjadi sempadan cita-cita mereka. Sebaliknya, al-Quran mesti menjadi kompas apabila mereka melangkah lebih jauh.
16. Aspirasi kita ialah melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 melalui Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, laluan pembiayaan serta jaringan universiti dan industri. Tetapi saya tidak mahu kita hanya mengejar angka. Saya mahu melihat huffaz menjadi saintis, jurutera, doktor, usahawan, pembuat dasar dan pemimpin yang membawa integriti alQuran ke dalam profesion masing-masing.
17. Disiplin menghafaz sebenarnya telah memberikan mereka satu kelebihan dari sudut ketekunan, pengurusan masa, daya tahan dan kesungguhan. Ini modal besar. Tugas kita ialah menukarkan kekuatan itu menjadi kelebihan kompetitif agar generasi huffaz bukan hanya mampu memasuki dunia profesional, tetapi mampu memimpin dan memberi nilai di dalamnya.
DARIPADA GERAKAN KEPADA EKOSISTEM
Hadirin sekalian,
18. Percayalah, cita-cita sebesar ini tidak boleh dipikul oleh institusi tahfiz sahaja. Kerajaan, PERMATA, universiti, pusat TVET, industri, ibu bapa dan rangkaian tahfiz serantau mesti bergerak sebagai satu ekosistem. Kita tidak akan sampai jauh kalau masing-masing berjalan sendiri.
19. Selepas sepuluh tahun, saya mahu PERMATA memainkan peranan lebih besar sebagai jambatan yang menghubungkan dunia tahfiz dengan dasar Kerajaan, teknologi, universiti dan keperluan industri. Dalam masa yang sama, tadbir urus institusi, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan emosi pelajar mesti sentiasa dijaga.
20. Ingat, apabila ibu bapa menyerahkan anak kepada institusi tahfiz, mereka menyerahkan sebuah amanah yang paling suci dalam hidup mereka, dan amanah itu menuntut kita bekerja dengan penuh keikhlasan serta akauntabiliti.
EMPAT AMANAH UNTUK PARA GRADUAN
21. Begitu juga kepada anak-anak graduan sekalian, saya mahu sebelum anda melangkah keluar dari dewan ini, berpeganglah dengan empat amanah ini.
i. PERTAMA, jaga hafazan agar kalam Allah kekal terpahat di dada dan bukan sekadar sijil di dinding.
ii. KEDUA, jaga akhlak kerana peribadi anda adalah cerminan hidup al-Quran.
iii. KETIGA, hidupkan nilai keadilan, ihsan, dan rahmah dalam sebarang lapangan kerjaya yang anda ceburi.
iv. KEEMPAT, jadilah agen penyelesaian kepada masalah ummah, bukannya penambah beban kepada masyarakat.
22. Pada masa yang sama, untuk terus relevan di era disrupsi teknologi dan cabaran maklumat tanpa sempadan ini, saya menyarankan agar anada semua teruskan amalan pengajian sepanjang hayat.
23. Kuasailah bahasa. Fahamilah teknologi. Terokailah AI secara beretika. Bina inovasi dan beranilah memasuki bidang yang mungkin belum pernah diterokai generasi sebelum anda. Tetapi sejauh mana pun anda pergi, jangan biarkan kompas moral anda terpisah daripada jiwa al-Quran.
24. Kepada ibu bapa dan para guru, terima kasih atas doa dan pengorbanan yang membawa anak-anak ini sampai ke tahap ini.
PENUTUP
Hadirin sekalian,
25. Jangan kecilkan cita-cita sendiri. Al-Quran yang anda hafaz hari ini mesti menjadi kekuatan untuk anda melangkah lebih jauh, bukan tembok yang mengehadkan masa depan. Di mana sahaja anda berkhidmat kelak, biarlah al-Quran memandu cara anda membuat keputusan, mengurus amanah dan melayani manusia.
26. Saya mahu suatu hari nanti apabila dunia menyebut huffaz Malaysia dan Nusantara, mereka tidak lagi bertanya berapa juzuk yang dihafaz. Mereka melihat berapa banyak masalah yang anda selesaikan, berapa ramai manusia yang anda bantu, dan sebesar mana sumbangan anda kepada pembinaan sebuah peradaban.
27. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Konvokesyen Huffaz Nusantara PERMATA Al-Quran Kali Ke-10, Sidang Kedua.
Sekian.
Wabillahi al-taufiq wal-hidayah.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
