Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam
Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
MUKADIMAH
1. Pagi ini, saya teruja berada di hadapan lebih 300 anak muda yang datang dari pelbagai pelosok negara. Ada yang datang dari bandar kecil, ada dari kampung, ada dari Sabah dan Sarawak, malah ada yang mungkin mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke Shah Alam.
2. Anda hadir dengan latar yang berbeza, pengalaman yang berbeza dan mungkin juga cita-cita yang berbeza. Tetapi saya percaya kita semua berkongsi satu harapan
yang sama, iaitu mahu melihat desa menjadi tempat yang lebih baik, bukan sahaja untuk generasi hari ini tetapi juga untuk generasi selepas kita.
3. Sebab itu saya melihat tema “Desa DNA Kita” membawa makna yang cukup besar. Desa bukan sekadar tempat kita dilahirkan atau alamat yang tertulis pada kad pengenalan. Desa ialah tempat kita mengenal keluarga, komuniti, kebersamaan dan nilai kehidupan.
4. Tetapi datang dari desa tidak pernah bermakna cita-cita kita juga mesti kecil. Asal-usul kita membentuk siapa kita, tetapi ia tidak sepatutnya membataskan sejauh mana kita boleh pergi.
5. Saya mahu anak-anak muda desa pergi sejauh mana cita-cita membawa anda. Belajarlah, bekerjalah dan carilah pengalaman sebanyak mungkin. Tugas kami sebagai Kerajaan pula ialah memastikan peluang yang baik tidak hanya tertumpu di bandar, tetapi turut sampai kepada anak-anak muda di desa di mana jua anda berada.
JURANG PELUANG, BUKAN JURANG BAKAT
Saudara dan saudari,
6. Satu benda yang saya pegang adalah saya tidak pernah percaya bahawa anak desa kurang berbakat. Kalau diberi ruang dan peluang yang sama, anak muda dari Gerik boleh bersaing dengan anak muda dari Kuala Lumpur. Anak dari Gua Musang boleh menjadi jurutera teknologi. Anak dari Semporna boleh membina syarikat digital. Anak dari Kapit pula boleh membawa produk tempatan ke pasaran dunia.
7. Jadi cabaran kita sebenarnya bukan soal bakat, tetapi sejauh mana peluang itu sampai kepada mereka. Kita sudah melihat banyak kemajuan. Pada tahun 2024, median pendapatan isi rumah luar bandar meningkat kepada RM4,588, manakala akses internet luar bandar pula telah mencapai 90.7 peratus pada tahun 2025. Ini menunjukkan kita sedang bergerak ke arah yang betul.
8. Tetapi bagi saya, access alone is not enough. Internet mesti membuka peluang untuk menjana pendapatan. Latihan mesti membawa kepada pekerjaan yang lebih baik. Infrastruktur pula mesti membantu ekonomi tempatan berkembang. Hari ini kadar pengangguran negara sekitar 3 peratus, tetapi bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun, kadarnya masih sekitar 10 peratus. Maknanya masih ada ruang besar yang perlu kita perbaiki.
9. Sebab itu opportunity must translate into real outcomes. Tugas kami sebagai Kerajaan ialah membina ekosistem yang betul dan mendekatkan lebih banyak peluang kepada anak-anak muda desa. Tetapi anda semua juga mesti mula bersedia dari sekarang.
Build your skills, gain experience and be ready when
the opportunity comes.
Because talent matters, but readiness is what turns
opportunity into success.
DESA BUKAN SEKTOR EKONOMI
Hadirin sekalian,
10. Saya juga mahu kita mengubah satu cara lama kita melihat desa. Selama ini apabila disebut ekonomi desa, kita sering membayangkan pertanian, penternakan, kraftangan ataupun homestay kan? Semua ini penting dan akan terus menjadi kekuatan ekonomi desa.
11. Tetapi ekonomi desa tidak boleh berhenti di situ. Saya percaya anak desa boleh berada dalam apa juga sektor. Mereka boleh menjadi juruteknik semikonduktor, pembangun perisian, operator dron, pereka digital, pakar tenaga hijau, jurutera automasi ataupun usahawan teknologi.
12. Lokasi kita tidak sepatutnya menentukan jenis pekerjaan yang boleh kita ceburi. Inilah sebabnya TVET menjadi begitu penting. Dalam ekosistem KKDW sahaja, kita mempunyai 281 institusi TVET yang menawarkan 588 program kemahiran, dengan lebih 70,000 pelajar dan kadar kebolehpasaran graduan sekitar 96.2 peratus.
13. Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya mahu lebih ramai anak muda desa masuk ke bidang-bidang bernilai tinggi. Kita tidak mahu sekadar melahirkan graduan yang mencari pekerjaan. Kita mahu melahirkan tenaga mahir yang mempunyai kompetensi sehingga industri sendiri mencari mereka.
14. Dalam dunia yang sedang berubah kerana AI, automasi dan teknologi, trust me… sijil sahaja tidak lagi mencukupi. Anak muda mesti ada kemahiran yang boleh digunakan, kemampuan menyelesaikan masalah dan keupayaan mencipta nilai. Sebab itu saya selalu percaya bahawa skills are the new currency in today’s economy.
PERGI BUKAN BERERTI MENINGGALKAN
Anak-anak muda sekalian,
15. Sebab itu apabila anda semua sudah membina kemahiran dan keyakinan, jangan takut untuk pergi lebih jauh. Saya tidak mahu anak-anak desa merasakan mereka mesti kekal di tempat asal untuk membuktikan kecintaan kepada desa.
16. Kalau ada peluang belajar di Kuala Lumpur, pergilah. Kalau ada pekerjaan yang baik di Johor, rebutlah peluang itu. Kalau ada kesempatan membina pengalaman di luar negara, pergilah dan lihat dunia. Go out, learn, grow and build your network. Kadang-kadang kita memang perlu keluar untuk menjadi lebih baik.
17. Tetapi saya minta satu perkara – walau sejauh mana anda pergi, jangan putuskan hubungan dengan tempat yang membesarkan anda. Kerana menyumbang kepada desa tidak semestinya bermaksud kita semua perlu kembali dan menetap di sana.
18. Kalau saudara menjadi jurutera, kongsikan kepakaran. Kalau menjadi usahawan, bukakan pasaran kepada pengusaha di tempat asal. Kalau sudah berjaya dalam industri, bantu anak muda lain mendapatkan peluang dan jaringan. Dan kalau suatu hari saudara mempunyai modal, lihat pula bagaimana ia boleh membuka peluang baharu kepada komuniti sendiri.
19. Inilah kitaran yang saya mahu kita bina. Anak muda keluar mencari ilmu dan pengalaman, tetapi sebahagian daripada ilmu, jaringan dan kejayaan itu akhirnya memberi manfaat semula kepada desa. Percayalah, yang perlu kembali bukan semestinya kita secara fizikal. Yang perlu kembali ialah nilai yang kita bawa.
PERGI. KUASAI. CIPTA. KEMBALI.
Saudara dan saudari,
20. Sebelum saya mengakhiri ucapan, saya mahu meninggalkan empat perkara untuk anda semua bawa pulang.
i. Pertama, PERGI. – Jangan takut keluar daripada zon selesa. Pergilah belajar, cari pengalaman, bina jaringan dan lihat bagaimana dunia bergerak. Kadang-kadang kita perlu keluar untuk memahami betapa besarnya kemampuan diri sendiri.
ii. Kedua, KUASAI. Jangan sekadar tahu sedikit tentang banyak perkara. Carilah satu bidang yang saudara benar-benar mahu kuasai. Kuasai teknologi, kuasai kemahiran dan bina kompetensi yang mempunyai nilai. Jadilah begitu baik dalam sesuatu sehingga orang mencari anda kerana kemampuan yang anda miliki.
iii. Ketiga, CIPTA. – Jangan habiskan usia muda hanya menunggu peluang datang. Kalau nampak masalah, fikirkan penyelesaian. Kalau nampak ruang, bina sesuatu. Tidak semua orang perlu menjadi usahawan, tetapi setiap orang boleh menjadi pencipta nilai di mana sahaja mereka berada.
iv. Dan keempat, KEMBALI – Walau di mana saudara berada suatu hari nanti, pulangkan sesuatu kepada tempat yang membesarkan saudara. Pulangkan ilmu. Pulangkan masa. Pulangkan jaringan. Pulangkan peluang.
21. Bagi saya, itulah makna sebenar Desa DNA Kita, dan sebab itu lah saya pastikan diri saya hadir untuk bercakap dengan anda semua hari ini.
PENUTUP
22. As a father, saya nak semua tahu bahawa perjalanan selepas ini mungkin tidak sentiasa mudah. Saya tahu bukan semua dari kita datang dari keluarga yang senang. Ada masa kita sudah cuba tetapi belum berjaya, ada masa kita sudah bersedia tetapi peluang belum tiba. Tetapi seperti lagu Batas Senja Kita Usahakan Lagi – “janganlah menyerah dulu, waktu masih panjang.”
23. Kalau belum berjaya, kita usahakan lagi. Kalau belum cukup baik, kita usahakan lagi. Dan kalau peluang masih belum sampai kepada anak-anak muda desa, kami di pihak Kerajaan juga akan usahakan lagi.
24. Pergilah sejauh mana cita-cita membawa anda. Kejarlah apa yang anda mahu capai. Tetapi satu perkara jangan lupa – mak ayah, keluarga dan tempat yang membesarkan anda. Sejauh mana pun kita pergi, jangan sampai kejayaan membuatkan kita lupa siapa yang sentiasa mendoakan perjalanan kita.
25. Bagi saya, itulah semangat Desa DNA Kita. Kita boleh terbang jauh, kita boleh menjadi sesiapa sahaja, tetapi akar itu mesti terus ada dalam diri kita. Keep going, keep growing, dan InsyaAllah… kita usahakan lagi.
26. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Konvensyen Belia Desa 2026.
Sekian.
Wabillahitaufiq Walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.
