PROGRAM GEMA@KKDW: MEMPERKUKUH KELUARGA, MEMBINA MASA DEPAN
1. GEMA@KKDW diwujudkan kerana kita percaya pembangunan negara bermula daripada keluarga. Setiap ibu bapa mahu melihat anak-anak mereka menikmati kehidupan yang lebih baik daripada generasi sebelumnya.
2. Pembangunan bukan hanya soal ekonomi dan infrastruktur. Sebesar mana pun pelaburan yang masuk, kejayaan negara akhirnya bergantung kepada kualiti modal insan yang kita lahirkan.
3. Program GEMA@KKDW membantu memperkasa ibu bapa. Fokusnya ialah membina keluarga yang kukuh agar anak-anak membesar dalam persekitaran yang positif, berdisiplin dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
4. Program ini dibangunkan berasaskan penyelidikan dan amalan terbaik antarabangsa. Kerjasama melibatkan Universiti Putra Malaysia, Universiti Oxford, UNICEF Malaysia, LPPKN serta pelbagai rakan strategik memastikan pendekatan yang digunakan benar-benar berkesan.
5. Peranan KEMAS terus diperkukuh. Bukan sekadar mendidik anak-anak di TABIKA, tetapi menjadi rakan strategik kepada ibu bapa dalam memperkukuh institusi keluarga.
6. Matlamat akhirnya ialah melahirkan generasi yang berakhlak, berilmu dan berdaya saing. Apabila keluarga diperkasakan, kita bukan sahaja membina masa depan anak-anak, malah menyediakan asas yang kukuh untuk kemajuan negara.
POTENSI NEGERI SEMBILAN
7. Negeri Sembilan mempunyai asas dan potensi yang kukuh untuk memainkan peranan lebih besar dalam pertumbuhan ekonomi negara. Pada 2025, negeri ini merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM19.1 bilion, pencapaian tertinggi dalam sejarah negeri. Ekonomi Negeri Sembilan pula berkembang 4.6 peratus pada 2024, sebelum mencatat pertumbuhan 2.6 peratus pada 2025.
8. Tapi percayalah, pencapaian ini tidak berlaku tanpa asas yang kuat dipasak oleh Barisan Nasional ketika mentadbir negeri ini. Kita memperkukuh kedudukan kewangan negeri, membangunkan pusat-pusat pertumbuhan baharu seperti Seremban 2, Nilai, Bandar Enstek dan Sendayan, memperluaskan kawasan perindustrian serta meletakkan asas kepada pembangunan Malaysia Vision Valley. Pada masa yang sama, pembangunan luar bandar, FELDA, pendidikan dan kemudahan asas terus diperkasakan supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
9. InsyaAllah, Barisan Nasional telah membina asas tersebut, dan hari ini kita mahu memastikan asas itu kembali diperkukuhkan agar Negeri Sembilan mampu melonjak ke tahap yang lebih tinggi.
10. Saya percaya potensi Negeri Sembilan masih jauh lebih besar. Kedudukannya yang strategik di tengah Semenanjung, kekuatan sektor pembuatan, logistik, pelancongan, pertanian moden serta kemunculan industri semikonduktor, tenaga boleh baharu dan ekonomi hijau membuka ruang yang amat luas untuk pertumbuhan baharu.
11. Sebagai contoh, pelaksanaan Large Solar Scale 6 (LSS6) dijangka menarik pelaburan swasta sehingga RM15 bilion dan mewujudkan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan yang juga dimulakan oleh pentadbiran Barisan Nasional.
TAWARAN BARISAN NASIONAL
12. Kepimpinan yang berwibawa dan terbukti
Barisan Nasional menawarkan kepimpinan yang berpengalaman, stabil dan tahu mentadbir. Rekod pembangunan Negeri Sembilan sebelum ini membuktikan bahawa apabila wujud kepimpinan yang berkesan, keyakinan pelabur meningkat, ekonomi berkembang dan peluang dapat dinikmati oleh rakyat.
13. Lebih banyak peluang pekerjaan melalui TVET
Barisan Nasional akan memberikan tumpuan khusus kepada TVET kerana inilah antara laluan paling pantas untuk melahirkan tenaga kerja mahir, meningkatkan pendapatan anak-anak muda dan memenuhi keperluan industri masa depan.
Negeri Sembilan mempunyai asas perindustrian yang kukuh. Sektor pembuatan dianggarkan menyumbang sekitar 40 peratus kepada KDNK negeri, dengan nilai tambah melebihi RM20 bilion setahun, khususnya dalam industri elektrik dan elektronik, produk logam, mineral bukan logam, bahan kimia serta plastik.
Sebab itu, apabila Kerajaan memperuntukkan RM7.9 bilion untuk memperkukuh ekosistem TVET negara, anak-anak Negeri Sembilan mesti menjadi antara penerima manfaat utama.
Kita mahu cipta lebih banyak perkerjaan di Negeri Sembilan dan memastikan anak-anak muda memiliki kemahiran yang membolehkan mereka mendapat pekerjaan berkualiti, pendapatan lebih baik dan masa depan yang lebih terjamin.
14. Memajukan desa sebagai pusat pertumbuhan baharu
Barisan Nasional percaya pembangunan Negeri Sembilan tidak boleh tertumpu kepada bandar-bandar utama seperti Seremban sahaja. Negeri ini mempunyai kekuatan yang jauh lebih luas — kampung tradisi, kawasan FELDA, produk tempatan, warisan adat, pelancongan desa, pertanian, makanan, kraftangan dan komuniti luar bandar yang mempunyai potensi ekonomi tersendiri.
Sebab itu, kita mahu menjadikan desa sebagai pusat pertumbuhan baharu. Melalui latihan e-dagang, pemasaran digital, peningkatan kualiti produk, pembungkusan, penjenamaan dan peluasan akses pasaran, lebih banyak produk dari kampung, FELDA dan usahawan desa Negeri Sembilan boleh dipasarkan bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga ke seluruh negara dan luar negara.
KOMITMEN KKDW DALAM MEMPERKASA LUAR BANDAR
15. Kesemua perkara yang saya cakapkan ini telah kita terjemahkan melalui tindakan. Di Negeri Sembilan sahaja, KKDW melaksanakan 68 projek pembangunan pada tahun 2026 dengan peruntukan sebanyak RM158.66 juta, melibatkan 16 projek baharu dan 52 projek sambungan.
16. Di Parlimen Jempol sahaja, sebanyak RM21.93 juta diperuntukkan bagi melaksanakan 14 projek dan 12 subprojek yang memberi tumpuan kepada jalan luar bandar, bekalan air, jalan perhubungan desa, pendidikan KEMAS, pembangunan masyarakat Orang Asli serta pelbagai keperluan asas rakyat.
17. Antara tumpuan utama KKDW di Parlimen Jempol ialah:
Prasarana dan perhubungan luar bandar
• Jalan Sungai Sebaling–Bahau
• Jalan Kampung Geddes–Sungai Kelai–FELDA Palong
• Kajian jalan baharu FELCRA Rompin–FELDA Palong 2
• Jalan Perhubungan Desa (JPD) di beberapa kampung.
Pendidikan dan pembangunan modal insan
• Pembinaan TABIKA KEMAS Berkembar FELDA Palong 9
• TABIKA KEMAS Raja Alias 4
• TABIKA KEMAS Taman Desa Putri
• TASKA KEMAS Pekan Batu Kikir.
PENUTUP
18. Negeri Sembilan memerlukan sebuah kepimpinan yang diyakini. Kepimpinan yang menjunjung adat, menghormati institusi, mengutamakan kestabilan dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalagalanya.
19. Sebab itu, saya menyeru seluruh rakyat Negeri Sembilan terutamanya di Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau agar memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional & pasukan yang telah kita sepakati bersama.
20. Insya-Allah, amanah itu akan dibalas dengan kerja yang ikhlas, kepimpinan yang menjunjung adat dan institusi, serta iltizam untuk membawa Negeri Sembilan terus maju, makmur dan dihormati.
Sekian. Wabillahi taufik walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
